Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kontraktor bumi tak puas hati syarikat China dikecualikan GST

Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F (Perkobf) mempersoalkan tindakan kerajaan yang melepaskan cukai GST kepada kontraktor projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL), China Communications Construction Company (CCCC).

Presidennya, Tukiman Radion berkata sebagai syarikat yang mengendalikan projek berskala besar, cukai patut dikenakan.

Lebih-lebih lagi, katanya, sebelum ini kerajaan memberitahu cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dibuat bagi membantu pendapatan negara.

"Saya memang agak kurang selesa tengok keadaan macam itu sebab ada sifat pilih kasih.

"Kita beli bahan-bahan mentah seperti simen, paku pun kena GST. Itu perniagaan paling besar, bukan kecil-kecil.

"Sekarang ini, orang miskin pun kena GST, orang tak bekerja pun kena GST sebab nak beli barang ada GST.

"Jadi, inilah masanya kalau nak kutip GST kepada syarikat-syarikat besar untuk bayar GST," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Semalam, Jabatan Kastam Diraja Malaysia mengesahkan wujudnya sijil pelepasan GST kepada kontraktor projek ECRL, selepas perkara itu dibangkitkan oleh pemimpin pembangkang Husam Musa.

Menjelaskan sebab pelepasan, Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Subromaniam Tholasy berkata berkata ECRL adalah projek melibatkan dua kerajaan yang membabitkan kepentingan awam.

Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik BN, Eric See-To pula menjelaskan, pelepasan cukai GST dibuat bagi mengelakkan proses tidak diperlukan serta perbelanjaan bertindih.

Sementara itu, Tukiman berpendapat, sebagai sebuah syarikat besar yang berurusan dengan kerajaan, cukai terhadap syarikat CCCC wajar dikenakan kerana ia melakukan projek dalam negara ini.

"Pandangan saya, wajar kerajaan kutip juga GST dari mereka ini sebab mereka berurusan dalam negara Malaysia.

"Sepatutnya apa jua urusan dalam negara dia (kerajaan) perlu (kenakan) GST," ujarnya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS