Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno: Dr Mahathir umpama tawanan perang
Diterbitkan:  Apr 17, 2018 2:46 PM
Dikemaskini: 6:54 AM

Pemimpin, penyokong dan media Umno bertali arus memperlekehkan tahap fizikal Tun Dr Mahathir Mohamad yang dinamakan sebagai calon perdana menteri Pakatan Harapan sekiranya gabungan pembangkang berjaya menumbangkan BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 ini.

Terbaru, Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa melalui hantaran di Facebook memaparkan sekeping gambar bekas perdana menteri yang bakal mencecah usia 93 tahun dalam kepenatan sambil menutup matanya.

“Tidak salah beliau. Usia dan tenaga tidak mengenal siapa. Diberitakan beliau sering uzur, sering batuk-batuk, kadang kadang ingatan lupa, kadang kadang terlena,” kata Annuar.

Sambil menulis, “Tuhan Maha Kaya” beliau memperli Dr Mahathir yang didakwa mengata Tun Abddullah Ahmad Badawi yang selalu dirakamkan terlelap semasa majlis.

Dr Mahathir pernah dilaporkan berkata penggantinya itu menunjukkan prestasi lebih baik daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak walaupun mempunyai masalah berkaitan tidur.

Najib sebelum ini berkata, tiada negara di dunia akan memilih pemimpin berusia 93 tahun sebagai calon perdana menteri.

Mahathir membalas dengan berkata pada usia mencecah 93 tahun beliau masih mampu menunggang kuda, memandu kereta dan mengalahkan BN dalam PRU14.

Menulis lanjut, Annuar berkata, apa yang berlaku bukan salah Dr Mahathir tetapi bekas presiden Umno yang kini menerajui HARAPAN itu sebenarnya diperalatkan.

“Tidak salah beliau. Yang salah adalah anak-anaknya yang tak pandai pandai berdikari.

“Mau juga bapa yang diperalatkan di saat ibadat dan kesihatan sepatutnya diutamakan,” katanya.

Menurut Annuar, sebaliknya masa berharga Dr Mahathir dihabiskan dengan mengata dan memfitnah orang manakala ajaran agama juga tidak lagi dipedulikan tanpa menyebut sebarang rujukan tetapi jelas merujuk kepada parti DAP dan PKR.

“Musuh Islam dibuat kawan, pemimpin Islam dibuat lawan, pegangan dulu di U turn, semata-mata kerana marah dan geram cakapnya tak dipedulikan.

“Tidak salah beliau. Cuma beliau diperalatkan... beliau umpama tawanan perang yang tiada pilihan.

“Digunakan untuk kerja berat sedangkan kuasa sebenarnya berada di Pulau Pinang dan Kajang...

Menunggu saat bukan saja dibuang padang malah mungkin dihadap ke pengadilan oleh kawan sepasukan... atau kembali dijemput Tuhan semesta alam,” katanya.

Pemimpin Umno dari Kelantan itu kemudiannya berkata, Dr Mahathir amat memerlukan kuasa kerana terlalu banyak yang perlu dilindungi yang dipercayai merujuk kepada dakwaan salah laku semasa 22 tahun pentadbirannya.

“Terlalu banyak nak dilindungkan, terlalu ramai kroni buat permintaan, terlalu banyak kepentingan yang perlu dilunaskan.

“Tidak salah beliau. Beliau diberitahu kononnya ramai di belakang. Kononnya beliau berkuasa menukar kerajaan... kononnya beliau superman...

“Sepanjang hayatnya orang lain jua dipersalahkan. Qadha Qadhar tuhan tidak percayakan. Urusan agama ikut akal fikiran buat tafsiran....

“Semoga beliau diberi kesihatan. Semoga Allah kembalikan pada keimanan, tali Allah jadi pegangan... Amin,” kata Annuar.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS