Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes KBS: Beg kepit, dompet berjenama antara barang bukti

Beg kepit, dompet dan cermin mata berjenama antara 31 barang dikemukakan di Mahkamah Sesyen hari ini sebagai barang bukti pada perbicaraan kes bekas pegawai kanan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang didakwa atas 32 pertuduhan salah guna kedudukan dan mengemukakan tuntutan palsu membabitkan RM38.4 juta.

Kesemua tiga unit beg kepit, 14 unit dompet dan 14 pasang cermin mata hitam itu dikemukakan Ketua Penolong Kanan Penguasa, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Asmawi Kulup Lam ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Aaron Chelliah, pada perbicaraan kes Otman Arsahd, 59, bekas setiausaha Bahagian Kewangan, KBS.

Antara jenama barangan tersebut ialah Louis Vuitton, Gucci, Dior Home, Tom Ford, Linda Farrow, Fendi Roma, Prada, Cartier, Richard Mille dan Giorgio Armani.

Asmawi membuka setiap barang bukti itu satu persatu semasa ditanya oleh Aaron mengenai barangan tersebut pada perbicaraan kes itu di hadapan Hakim Azura Alwi.

Seutas gelang tangan

Saksi pendakwaan ke-49 itu turut mengemukakan sijil pengesahan keaslian bagi kesemua beg kepit, dompet dan cermin mata serta panduan penjagaannya.

Beliau berkata kesemua 31 barangan tersebut beserta dengan 11 kotak kosong iaitu bekas jam tangan Cartier termasuk sebuah beg kecil dan seutas gelang tangan jenama Massimo Dutti yang telah dirampas dibungkus dengan kemas dan dimasukkan ke dalam sebuah kotak yang ditandakan oleh SPRM.

Pada 21 April 2016, Otman, yang diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali, didakwa atas 64 pertuduhan menerima wang berjumlah RM16,623,000 hasil daripada aktiviti haram ke dalam akaun Maybank, RHB dan CIMB Berhad melalui cek antara 7 Mac 2012 hingga 11 Dis 2015.

Selain Otman, pengarah syarikat pembekal barangan sukan di bawah KBS, Abdul Gafar, 44; dan isterinya Siti Rohanah, 44; suri rumah, masing-masing berdepan 63 pertuduhan memindahkan wang berjumlah RM15,723,000 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram menerusi 63 transaksi dari akaun bank tiga syarikat milik mereka ke akaun bank milik Otman bagi tempoh masa yang sama.

Kesemua mereka dituduh melakukan kesalahan itu di beberapa lokasi berbeza antaranya RHB Bank cawangan Presint 8, Putrajaya; Menara Maybank Jalan Tun Perak dan Maybank Jalan Raja Laut.

Abdul Gafar Otman dan Siti Rohanah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA) yang membawa hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-keduanya, jika sabit kesalahan.

Mereka juga didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFAPUAA) yang membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun atau boleh juga didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram, jika sabit kesalahan.

Abdul Gafar dan Siti Rohanah diwakili peguam Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos.

Perbicaraan bersambung esok.


-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS