Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Laporan: Ibu tak setuju Nik Omar sertai politik
Diterbitkan:  Apr 15, 2018 6:22 PM
Dikemaskini: 2:07 PM

Anak allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Nik Omar tidak akan menyertai AMANAH, apatah lagi menjadi calon parti itu dalam PRU ke-14.

Menurut laporan Sinar Harian hari ini, Nik Omar berkata beliau mengambil keputusan itu selepas ibunya, Tuan Sabariah Tuan Ishak melarangnya menyertai politik.

“Semua bergantung kepada bonda, selagi bonda tidak izin, bonda minta tidak terlibat, kita kena terima. Bonda melihat mungkin kerana berlaku pertembungan.

“Bila ditanya kenapa bonda? Saya nak tunjuk apa jua yang kita lakukan pentingnya mendapat keizinan dan restu ibu,” katanya seperti dipetik.

Pada 13 April lalu, AMANAH dilaporkan dalam proses rundingan terakhir bagi membawa Nik Omar ke dalam parti itu.

"Fikrah dan pemikirannya itu memang sudah selari (dengan AMANAH) tetapi ada beberapa perkara teknikal yang melibatkan keluarga yang sedang diuruskan," kata Pengerusi AMANAH Kelantan Wan Abd Rahim Wan Abdullah.

Jika ia berjaya direalisasikan, AMANAH berhasrat mencalonkannya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka, yang dipegang bapanya sejak 1995.

Namun adiknya yang juga anggota Jawatankuasa Pusat PAS, Nik Mohamad Abduh (gambar) menafikan berlakunya rundingan dan berkata Nik Omar kekal istiqamah bersama PAS.

Kalau nak menang

Menurut laporan Sinar Harian itu lagi, Nik Omar berkata beliau masih ahli PAS tetapi mengakui wujudnya perbezaan pandangan dengan partinya berhubung kerjasama dengan Pakatan Harapan (HARAPAN).

"Kalau tanya, saya juga pangkah PAS, tetapi saya melihat untuk menang dalam politik kita mesti dalam gabungan.

"Sekarang PAS sendiri. PAS itu kuat, tetapi gabungan itu tidak kuat, itu yang saya tekankan dan HARAPAN memiliki gabungan yang kuat dengan empat parti memiliki kekuatan masing-masing," katanya lagi.

Nik Omar sebelum ini memang dikatakan cenderung untuk menyertai parti serpihan PAS itu tetapi tidak berbuat demikian atas pertimbangan keluarga.

“Saya secara peribadi tidak suka bergaduh, suka berkawan semua orang. Saya tidak ada masalah jumpa dengan semua orang termasuk pimpinan AMANAH," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS