Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata parti itu mengambil pendekatan "pinjam satu, beri satu" susulan perebutan kerusi dengan MCA di Wilayah Persekutuan.
Menurut Berita Harian Tengku Adnan mengakui kerusi Bandar Tun Razak dan Wangsa Maju merupakan milik MCA, namun meminta salah satu kerusi berkenaan dipinjamkan kepada Umno.
"Kita sudah mohon supaya MCA pulangkan balik kedua-duanya kepada Umno dan kita putuskan satu kerusi dipinjamkan kepada Umno, manakala satu kerusi lagi diserahkan kepada MCA semula," katanya.
Dalam kenyataannya beliau membayangkan Umno mungkin akan mengambil Bandar Tun Razak, manakala MCA kekal di Wangsa Maju.
"Berdasarkan tinjauan, kita lihat MCA mudah menang di Wangsa Maju dan selepas perbincangan dibuat, setakat ini keputusan masih belum dibuat. Tunggulah," katanya.
Sumber dalam Umno mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa parti itu merancang meletakkan ketua wanitanya Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil di Bandar Tun Razak.
Tengku Adnan enggan mengesahkan perkara itu sebaliknya menggesa anggota Umno supaya bersabar.
"Kalau Shahrizat bertanding, tunggulah. Tunggu pengumuman Pengerusi BN siapa akan jadi calon dan sebagainya. Sabar," katanya.
Sementara itu, ketua bahagian MCA Wangsa Maju, Yew Teong Look, memberitahu Malaysiakini bahawa beliau enggan mengulas sama ada partinya akan bertanding di kerusi itu sehingga pengesahan rasmi dibuat.
Wangsa Maju dan Bandar Tun Razak mempunyai lebih 50 peratus pengundi Melayu.
Kedua-dua kerusi itu dimenangi PKR pada pilihan raya umum 2008 dan 2013.