PRU14 | Penyelaras gerakan Deklarasi Rakyat, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan hari ini mengesahkan dia kini ahli AMANAH dan akan bertanding di kerusi Parlimen Jasin dalam pilihan raya umum ke-14.
Walaupun tiada pengumuman rasmi dibuat oleh para pemimpin AMANAH, Khairuddin sendiri mengesahkan perkara itu ketika ditemui oleh Malaysiakini di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur hari ini.
"Insya-Allah saya akan melaksanakan tanggungjawab terbaik untuk menawan Jasin," kata bekas timbalan ketua Umno bahagian Batu Kawan itu.
Sebelum ini, Khairuddin sekejap dengan BERSATU, sebelum dia keluar untuk memimpin gerakan Deklarasi Rakyat.
"Saya mahu melakukan semua yang saya mampu untuk menyumbang satu kerusi untuk AMANAH dan HARAPAN dalam PRU14 ini. Ia bukan mustahil kerana kita sudah dapat merasakan sentimen di akar umbi di Jasin," katanya.
'Dengan kerjasama yang kuat di kalangan parti-parti HARAPAN, saya yakin Insya-Allah kita akan tawan Jasin," kata ahli politik kelahiran Pulau Pinang itu.
Sebelum itu, katanya, dia telah menghadiri taklimat oleh Presiden AMANAH, Mohamad Sabu untuk semua calon PRU14 parti itu.
Malaysiakini difahamkan taklimat itu, yang berlangsung selama dua jam, dihadiri oleh majoriti 27 calon AMANAH untuk kerusi parlimen, dan lebih 100 calon untuk kerusi negeri.
Selain timbalan presiden parti itu, Salahuddin Ayub, naib presiden Datuk Mujahid Yusof Rawa dan pengarah komunikasi Khalid Samad, penyandang ahli Parlimen AMANAH, yang hadir hari ini termasuk MP Sepang Hanipa Maidin, Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar dan ADUN Hulu Kelang Saari Sungib.
Antara yang ketara tidak hadir termasuk Ketua Wanita AMANAH Dr Siti Mariah Mahmud dan anak Datuk Nik Aziz Nik Mat, Nik Omar.
Nik Omar dikatakan akan bertanding menentang Nik Abduh bagi kerusi DUN Chempaka.
Difahamkan Siti Mariah telah memberi laluan kepada Mat Sabu untuk bertanding di kerusi Parlimen Kota Raja, sementara beliau yangt dispekulasikan bertanding kerusi DUN Seri Serdang kini sedang dimuktamadkan.
Seri Serdang adalah antara enam kerusi DUN di Selangor dengan seorang calon belum diumumkan oleh HARAPAN.