PRU14 | Anggota Umno diingatkan agar menjauhi perbuatan sabotaj atau perbuatan yang boleh melemahkan parti menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Pengerusi Lembaga Disiplin Umno Tan Sri Abdul Ghani Othman dalam satu kenyataan hari ini berkata pihaknya tidak akan berkompromi serta akan mengambil tindakan tegas jika didapati ada pihak yang melanggar atau tidak mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.
"Lembaga Disiplin Umno telah bersiap sedia untuk bertindak ke atas mana-mana pemimpin dan anggota Umno yang melakukan kesalahan sabotaj parti menjelang PRU14. Tindakan tegas termasuk pecat dan gantung keahlian akan diambil dalam tempoh berkempen," katanya.
Jelasnya, tindakan yang bakal diambil adalah berdasarkan kepada aduan yang dibuat oleh anggota Umno, namun sebelum memutuskan apa-apa hukuman, Lembaga Disiplin akan menjalankan siasatan secara terperinci dan membuat keputusan berdasarkan kepada bukti yang kukuh.
"Saya juga menyeru kepada semua anggota Umno di seluruh negara supaya bersatu padu dan menyokong siapa sahaja yang telah dipilih sebagai calon oleh pucuk pimpinan parti.
Tak terpilih calon, berlapang dada
"Jika ada yang tidak terpilih, sebagai calon, hendaklah berlapang dada dan tidak sabotaj parti. Utamakan kepentingan parti melebihi kepentingan peribadi dan inilah semangat kepartian yang harus ada kepada setiap anggota Umno," katanya.
Beliau turut menyenaraikan beberapa contoh kesalahan kes sabotaj parti seperti yang pernah berlaku dalam pilihan raya sebelum ini, antaranya:
Mengadakan kenduri dan menganjurkan mesyuarat bagi mengisytiharkan dan membantu calon pembangkang; memberi wang sogokan kepada pengundi yang bertujuan untuk mensabotaj calon Barisan Nasional (BN); menjadi ejen, pelobi, dan pengurus kempen atau perayu undi kepada calon lawan; serta memfitnah kepimpinan parti atau mengeluarkan kenyataan keras mengkritik di dalam akhbar dan secara langsung memberi sokongan penuh kepada pembangkang.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan pengundian PRU14 pada 9 Mei.
-Bernama