Pasar raya AEON Tebrau City di Johor Baru kini beroperasi seperti biasa walaupun dibuka lebih lewat dari biasa.
Menurut jurucakap AEON, bahagian pasar raya itu hanya ditutup sementara dan dibuka semula pada jam 12 tengah hari tadi.
Ia bertujuan bagi memberi ruang kepada pihak pengurusan pasar raya berkenaan membuat penambahan produk agar mereka berkenaan dapat memberi perkhidmatan kepada pelanggan seperti biasa.
Kata jurucakap yang enggan namanya disiarkan itu, biasanya AEON Mall Tebrau City yang turut menempatkan bahagian pasar raya itu biasanya beroperasi mulai jam 10 pagi hingga 10 malam.
"Buka lambat hari ini. Sekarang sudah dibuka untuk beroperasi.
"(Buka lambat kerana) ingin menambah produk supaya kami bersedia untuk memberi perkhidmatan kepada pelanggan sekali lagi," kata jurucakap berkenaan kepada Malaysiakini.
Sebelum ini, melalui akaun Facebooknya AEON Mall Tebrau City mengumumkan bahagian pasar raya mereka ditutup selepas Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim membelanja orang ramai RM3,000 sekepala, melibatkan jumlah sehingga RM1 juta malam tadi.
Sementara itu, Utusan Malaysia melaporkan tular di media sosial pagi ini gambar yang didakwa dalam pasar raya tersebut dengan barangan yang tidak sempat dibeli.
TMJ bersama isterinya Che Puan Khaleeda Bustamam malam tadi membuat kejutan dengan tampil dengan pembesar suara mengumumkan orang ramai boleh mengambil apa saja dalam pasar raya itu.
Pewaris takhta Johor itu berbuat demikian sekitar jam 6.30 petang sehingga 8 malam.
Facebook Johor Southern Tigers yang sering digunakannya sebagai platform bersuara, memetik Tunku Ismail berkata beliau bukan ahli politik, tidak memerlukan undi dan ikhlas menyayangi rakyat.
Baginda kembali menjadi perhatian mutakhir ini selepas dikatakan mengkritik secara tidak langsung Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bagaimanapun, tidak seperti statusnya yang sering mendapat pujian, ramai pengguna maya turut menyatakan tidak setuju dengan baginda kali ini.
Sementara itu, AEON Mall di Facebook mereka turut mengucapkan tahniah kepada pembeli bertuah dan berterima kasih kepada TMJ kerana bermurah hati kepada pelanggannya.
Pasar raya itu turut memuat naik gambar-gambar berkaitan di laman sosial itu.