PRU14 I Menteri Komunikasi dan Multimedia sementara Datuk Seri Salleh Said Keruak mendakwa Pakatan Harapan (HARAPAN) tahu gabungan itu akan kalah pada pilihan raya umum akan datang.
Beliau berkata demikian selepas Tun Dr Mahathir Mohamad dalam blognya yang terbaru menulis mengenai penipuan yang didakwa akan dilakukan perdana menteri sementara Datuk Seri Najib Razak pada hari pengundian 9 Mei ini.
Salleh berkata tuduhan yang sama pernah dilemparkan pembangkang sebelum pilihan raya umum ke-13 (PRU13) lalu.
"Mereka tahu mereka tidak akan memenangi PRU13 jadi sebelum pilihan raya, mereka 'ramalkan' mereka akan kalah akibat penipuan dan selepas pilihan raya, mereka timbulkan segala tuduhan penipuan untuk menjelaskan mengapa mereka kalah.
"Sekarang mereka lakukannya semula. Mahathir kata dalam blognya hari ini bahawa Najib akan menipu dalam PRU14 supaya apabila mereka kalah dalam pilihan raya, mereka boleh menyelamatkan air muka dengan menyalahkan penipuan seperti yang mereka lakukan pada tahun 2013," katanya dalam catatan di blog petang ini.
Salleh berkata sebelum PRU pada 2013, pebagai tuduhan dibuat pembangkang berhubung dakwaan berlaku penipuan pilihan raya.
"Sebelum pilihan raya umum 2013, pemimpin Pakatan Rakyat (sebelum Pakatan Harapan) pergi ke seluruh negara mengatakan BN akan menipu untuk memenangi pilihan raya.
"Selepas pilihan raya, mereka kata lampu dipadamkan di tempat-tempat tertentu ketika undi dikira, kotak undi tambahan dibawa masuk ke tempat-tempat tertentu, puluhan ribu pengundi hantu diterbangkan dari Bangladesh dan begitulah seterusnya,"katanya.
Bagaimanapun, Salleh berkata semua tuduhan itu terbukti salah.
"Bahkan Kedutaan Bangladesh menafikan puluhan ribu warganya diterbangkan untuk mengundi di Malaysia, yang memerlukan lebih 100 pesawat yang disewa.
"Dan tempat di mana mereka kata lampu terpadam disahkan tidak pernah alami gangguan elektrik ditambah dengan petugas pembangkang mengatakan kotak undi tambahan dibawa masuk menafikan kejadian itu," katanya.