Lebih 100,000 orang telah menandatangani petisyen atas talian bagi memohon Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V mengisytiharkan hari mengundi pada Rabu, 9 Mei depan sebagai cuti umum.
Setakat laporan ini ditulis, seramai 112,000 orang telah berbuat demikian, kira-kira 24 jam selepas petisyen itu dilancarkan pada jam 4 petang semalam menggunakan platform Change.org.
Individu yang mengusahakan petisyen itu Arveent Kathirtchelvan juga menghantar e-mel sama kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Melayu, setiausaha sulit Agong, perdana menteri sementara dan timbalannya.
Keputusan SPR berkaitan tarikh mengundi itu mengundang kemarahan ramai, terutamanya pengundi luar yang terpaksa pulang ke kampung halaman.