Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sidang media SPR tak layan soalan wartawan
Diterbitkan:  Apr 10, 2018 2:06 PM
Dikemaskini: 6:14 AM

PRU14 | Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Mohd Hashim Abdullah hari ini enggan menerima atau menjawab soalan daripada wartawan yang membuat liputan pengumuman tarikh PRU ke-14 di Putrajaya hari ini.

Selepas membuat pengumuman yang dinanti-nantikan ramai itu beliau menyerahkan sejumlah surat pelantikan kepada beberapa pegawai di depan kamera media sebelum meninggalkan tempat berkenaan.

Ia berlaku ketika wartawan menjeritkan "Tan Sri! Tan Sri!" untuk menarik perhatian beliau dan berharap ada soalan boleh ditanyakan.

Bagaimanapun Mohd Hashim tidak berhenti sebaliknya tetap berlalu dari situ.

Malaysiakini adalah salah satu portal yang membuat liputan 'sidang media' berkenaan. Antara soalan yang ingin dikemukakan kepada SPR ialah kewajaran mereka menetapkan 9 Mei - bersamaan Rabu - untuk membuang undi.

Lazimnya hari membuang undi ditetapkan pada hujung minggu untuk memudahkan orang ramai keluar mengundi.

Sepanjang sejarah PRU hari membuang undi ditetapkan pada hari biasa hanya terjadi empat kali iaitu pada 1959, 1982, 1999 dan 1995.

Sementara itu pada sidang media sama Mohd Hashim turut mengumumkan SPR membuka ruang untuk pemerhati tempatan dan antarabangsa melihat sendiri perjalanan PRU ke-14 ini.

Katanya mereka boleh memantau perjalanan hari penamaan calon - yang ditetapkan pada 28 April ini - selain proses undi awal , pembuangan undi serta penjumlahan undi.

Wakil negara asing sudah terima

Bagaimanapun Mohd Hashim tidak menyatakan sama ada keputusan pemantauan itu akan didedahkan kepada umum atau sebaliknya.

Pemerhati yang diberi kebenaran oleh SPR itu ialah Pusat Kajian Komanwel Malaysia (MCSC).

Selain tidak begitu dikenali pertubuhan itu yang berpangkalan di Cambridge, UK nampaknya tidak mempunyai laman sesawan untuk dirujuk.

Mohd Hashim juga mengumumkan pemerhati antarabangsa lain yang akan memantau perjalanan PRU ke-14 ini. Mereka ialah dari Indonesia, Thailand, Maldives, Timor Leste, Azerbaijan, Kemboja Kyrgyzstan.

Katanya pihak terbabit sudah menerima jemputan daripada SPR.

Mohd Hashim juga memberitahu jemputan juga dihantar kepada pemerhati dari Bosnia Herzegovina, Uzbekistan, India, Pakistan, New Zealand, Myanmar, Australia dan Kazakhstan.

Daripada semua negara yang disebut SPR itu hanya India, Australia, New Zealand dan Timor Leste dianggap melaksanakan demokrasi secara bebas oleh laporan terkini Freedom House - sebuah pertubuhan yang memantau pelaksanaan demokrasi di dunia.

Menurut badan itu Kyrgyzstan dan Azerbaijan adalah negara yang ditadbir oleh rejim autoritarian yang kukuh.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS