Paling Popular
Terkini

PRU14 | Barisan Nasional (BN) Selangor hari ini melancarkan manifesto 10 program merangkumi 100 inisiatif fokus untuk rakyat Selangor sekiranya berjaya merampas semula negeri ini pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Manifesto bertemakan ‘Better Selangor. Yakinlah, BN Lebih Baik!’ yang dilancarkan oleh Pengerusi BN Selangor Tan Sri Noh Omar di Shah Alam hari ini, dirangka bagi memenuhi lima matlamat utama parti itu untuk menjadikan Selangor lebih gemilang.

Lima matlamat utama berkenaan adalah Kestabilan Politik dan Pentadbiran Negeri Berprestasi Tinggi; Keselamatan, Kesejahteraan dan Kemakmuran Rakyat; Infrastruktur dan Kemudahan Asas Mesra Pengguna; Ekonomi Berkembang Maju, Mampan, Inovatif dan Berdaya Saing di peringkat Global serta Kesepaduan Rakyat Tonggak Utama Kelestarian Pembangunan Sosioekonomi Negeri.

Noh berkata BN Selangor tekad untuk 'membaiki' negeri ini yang berdepan banyak masalah khususnya berkenaan air, pengurusan sampah dan penyakit denggi selama dua penggal ditadbir kerajaan negeri pimpinan Parti Keadilan Rakyat.

"Kita janji pada rakyat Selangor, yakinlah BN lebih baik daripada kerajaan negeri ketika ini. Manifesto BN Selangor ini dirangka supaya Selangor kembali gemilang dan cemerlang seperti yang kita (BN) lakukan dulu.

"Mungkin kita ada lakukan kesalahan, ada kelemahan tetapi kita dah belajar daripada kesilapan. Selangor akan lebih baik dan menjadi negeri tersohor di negara ini jika BN ambil alih Selangor pada PRU14," katanya ketika melancarkan manifesto itu.

Turut hadir Presiden MCA yang juga Pengerusi MCA Selangor Datuk Seri Liow Tiong Lai, Presiden MIC yang juga Pengerusi MIC Selangor Datuk Seri Dr S. Subramaniam, Pengerusi MyPPP Selangor Datuk Seri Maglin D'Cruz dan Timbalan Pengerusi BN Selangor Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan.

Sepuluh perkara terkandung dalam manifesto itu adalah perkhidmatan awam berprestasi tinggi; ekonomi berkembang maju, mampan dan inovatif; perumahan sejahtera dan mampu milik; kecemerlangan pendidikan dan modal insan; infrastruktur dan kemudahan asas mesra pengguna serta kesejahteraan belia, wanita dan masyarakat majmuk.

Selain itu, manifesto berkenaan turut menggariskan pengangkutan awam cekap dan mampu bayar; keselamatan dan ketenteraman awam; kesihatan berkualiti dan kelestarian alam sekitar serta kesejahteraan dan kualiti hidup masyarakat bandar.

Antara inisiatif fokus dalam manifesto itu ialah Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sektor kerajaan ditanggung sepenuhnya; pembinaan 50,000 unit rumah mampu milik; 10 peratus insentif pembelian rumah pertama bawah RM200,000; pendidikan Sekolah Rendah Agama (SRA) percuma; Universiti Selangor (Unisel) dinaik taraf universiti awam; dana khas rumah sewa mahasiswa, sekolah tahfiz dan RM2,000 bantuan khas kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

BN Selangor juga berikrar untuk memuktamadkan segera penstrukturan semula industri air demi keselesaan dan kesejahteraan rakyat Selangor; pemberian 20 meter padu air percuma dan rebat penggunaan bawah 40 meter padu; insentif bantuan pengurusan jenazah; insentif perkahwinan 50 peratus sewaan dewan kerajaan negeri; Stadium Shah Alam sebagai gelanggang rasmi pasukan bola sepak Selangor; mewujudkan sebuah bandar belia serta penyediaan pekerjaan baharu pesara.

Dana khas bantuan tambang sekolah keluarga B40 dan dana khas bantuan memiliki lesen motosikal; litar perlumbaan motosikal di setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT); pusat dialisis percuma di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN); bayaran 20 sen kepada pengguna yang membawa beg sendiri ke kedai atau pasar raya yang mengenakan bayaran plastik; saman dan kompaun tertunggak kesalahan penjaja atau peniaga kecil serta trafik PBT dihapuskan; serta kemudahan taska dan tadika di setiap perumahan kos rendah atau sederhana.

Menambah 10,000 wifi hotspot; dana khas pembangunan dan pembayaran bil air serta elektrik rumah ibadat berbilang kaum; perkhidmatan bas sekolah percuma di Program Perumahan Rakyat (PPR); dana khas penyediaan pusat transit pelajar; dana khas penyelenggaraan SRA dan Sekolah Agama Menengah, Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Cina dan Tamil serta Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina; rumah PPR dijadikan rumah sewa beli; serta program perumahan belia, imam, siak dan penjawat awam Selangor.


-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS