Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
HARAPAN Kelantan kibar bendera PKR, turunkan bendera parti komponen

Pakatan Harapan (HARAPAN) Kelantan sudah mengarahkan jentera mereka untuk mengibarkan bendera PKR dan menurunkan bendera parti komponen lain di seluruh negeri.

Timbalan Pengerusi HARAPAN Kelantan Wan Abd Rahim Wan Abdullah berkata, arahan itu selaras dengan keputusan gabungan itu untuk menggunakan logo PKR untuk semua calon mereka pada PRU ke-14.

"Kita sudah mengarahkan jentera agar menurunkan bendera parti lain dan menaikkan bendera PKR, yang dipilih sebagai logo HARAPAN," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Selepas usaha untuk mendaftarkan HARAPAN sebagai gabungan rasmi - dan membolehkan satu logo rasmi digunakan oleh semua parti - gagal, gabungan itu pada 6 April lalu mengumumkan penggunaan logo PKR untuk semua calonnya.

Ketika ditanya sejauh mana penerimaan logo PKR di kalangan pengudi di Kelantan, Wan Abd Rahim berkata ia tidak menjadi masalah kerana rata-rata kenal akan simbol 'mata' parti itu.

Katanya, ini kerana PKR sudah menyertai empat PRU sejak ditubuhkan secara rasmi pada 1999.

"Malah berjaya memenangi kerusi parlimen dan dewan undangan negeri (DUN) di sini. Pada PRU 1999 dan 2008 parti itu menang tiga kerusi parlimen Kelantan, kemudian pada PRU lalu mereka menang satu kerusi DUN.

"Parti itu juga sudah mengetuai pentadbiran Selangor selama dua penggal, dan ada pengaruh di Sabah dan Sarawak," katanya lagi.

Justeru beliau berkata tidak timbul masalah untuk memperkenalkan logo parti itu sebagai logo calon HARAPAN kepada pengundi.

"Apa yang penting kita perlu kibarkan lambang HARAPAN ini di seluruh lokasi dan tempat tumpuan umum," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam turut memaklumkan bendera parti yang tidak bertanding dilarang digunakan sepanjang tempoh berkempen.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS