PRU 14 | Kempen PRU ke-14 akan datang bakal menyaksikan "pertembungan dua biru" antara Barisan Nasional dan Pakatan Harapan (HARAPAN).
Ia selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini berkata hanya parti yang bertanding dibenarkan menaikkan bendera ketika tempoh kempen.
Semalam, HARAPAN mengesahkan calon daripada semua empat parti komponennya akan menggunakan logo PKR pada PRU akan datang.
"Jika mereka (calon) bertanding atas nama PKR, maka (bendera) PKR (sahaja boleh digunakan)," kata Pengerusi SPR Tan Sri Mohd Hashim Abdullah pada sidang media hari ini.
Namun beliau berkata bidang kuasa SPR berhubung salah laku pilihan raya - termasuk menurunkan bendera atau bahan kempen yang tidak sesuai - hanya bermula selepas hari penamaan calon.
"Sebaik saja kita tahu siapa calon dan parti mana yang bertanding (di suatu kawasan), barulah kita mengambil tindakan terhadap mana-mana parti yang tidak bertanding di kawasan itu," katanya lagi.
Sementara semua calon BN menggunakan logo dacing dalam setiap pilihan raya, percubaan HARAPAN untuk mendaftar sebagai gabungan rasmi telah ditolak.
Ditambah pula dengan pembubaran sementara terhadap BERSATU, Pengerusi HARAPAN Tun Dr Mahathir Mohamad semalam mengumumkan semua calon daripada gabungan itu akan menggunakan logo biru muda PKR pada PRU ke-14 nanti.
[Berita lanjut menyusul]