ULASAN l Kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa sebahagian besar pekerja dari tanah besar China dibenarkan terlibat dalam projek East Coast Rail Link (ECRL) adalah tamparan hebat buat tenaga kerja Malaysia.
Walaupun RM 55 billion diperuntukkan, nyata bukan Malaysia yang untung; tetapi pekerja dan syarikat dari China semata-mata.
ECRL bukan sebuah ‘game changer’ yang mampu mengangkat pekerja tempatan dalam industri pembinaan, seperti yang dikatakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. Tetapi ia hanyalah satu ‘big challenge’ kepada anak tempatan untuk mencari pekerjaan di tanah sendiri, bersaing dengan pekerja asing.
Langkah membenarkan syarikat China membawa pekerja China untuk projek ECRL membuktikan tindakan tempang kerajaan BN untuk mempertahankann kepentingan pekerja tempatan.
Halangan bahasa tidak seharusnya menjadi alasan mudah, memberi akses kemasukan pekerja China dalam projek tersebut melalui syarikat China Communications Construction Co. Ltd. (CCCC).
Kerajaan BN gagal memberi keutamaan penglibatan tenaga mahir tempatan dan graduan muda dalam sebuah projek yang amat penting buat negara.
Malaysia hanya mempunyai 27.3 peratus tenaga mahir adalah jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan Australia dan Singapura yang mencatatkan tenaga mahir melebihi 40 peratus.
Jadi kenapa peluang yang ada untuk meningkatkan keupayaan tenaga mahir tidak ditingkatkan - malah tenaga luar yang dipentingkan?
Juga mengikut Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia 2017, dianggarkan kira-kira 2 juta pekerja asing tanpa izin berada di Malaysia.
Hal ini tentunya akan menjadi lebih serius apabila jangkaan 80,000 pekerja asing dari China dibawa masuk dalam projek mega ECRL setelah permohonan kontraktor diluluskan kerajaan Malaysia.
Yang harus dikasihankan, adalah kontraktor kelas F yang hanya diberikan 30 peratus kuota dalam dalam kerja-kerja pembinaan ECRL, berbanding pekerja asing dari China yang melaksanakan kerja-kerja berkemahiran tinggi.
Kontraktor tempatan turut tidak diberi ruang yang saksama untuk terlibat dama dalam projek ECRL.
Dengan kos yang tinggi, maka projek ECRL ini perlu disemak semula bagi memberi jaminan peluang pekerjaan kepada pekerja tempatan.
Saya mendesak kerajaan BN menyatakan berapa peratus pekerjaan ECRL diperuntukkan kepada pekerja tempatan. Pembahagian sama rata dalam agihan pekerja tempatan dapat membantu meningkatkan produktiviti dan kemahiran pekerja.
Saya juga mahu kerajaan BN mempertingkatkan jumlah penyertaan syarikat tempatan dalam ECRL.
Walaupun Najib telah mengumukan 30 peratus kerja sivil untuk ECRL, namun penglibatan syarkat pembinaan Malaysia yang lebih banyak juga dapat memberi saingan sihat kepada syarikat China.
Syarikat tempatan juga dapat memperolehi pengalaman dan manfaat daripada sumber teknologi yang digunakan oleh China dalam sektor pembinaan.
Ia memberi kesedaran dan penanda aras kepada mengenai pentingnya pelaburan dalam teknologi, kajian dan kemahiran yang diperlukan untuk melaksanakan projek pembangunan setaraf dengan permintaan terkini.
Yang ditolak Pakatan Harapan, bukanlah pembangunan. Sebaliknya, pembangunan yang terbaik adalah pembangunan simbiotik yang memberi peluang kepada tenaga kerja tempatan untuk sama-sama menyumbang dengan kepakaran yang ada, serta mengembangkan potensi ekonomi rakyat Malaysia.
Jika kerajaan BN tidak mahu berbuat demikian, maka Pakatan Harapan komited untuk terlibat dalam usaha membangunkan Malaysia selepas PRU14 melalui dasar yang lebih telus dan berjiwa rakyat.
NURUL IZZAH ANWAR adalah anggota parlimen Lembah Pantai. Beliau juga adalah naib presiden dan pengarah pilihan raya bersama PKR.
Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.