mk-logo
Berita

PRU14 | Parti Amanah Negara (AMANAH) Kelantan mendakwa Anggota Parlimen Pasir Mas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz mengeluarkan kenyataan tidak benar mengenai ayahnya sendiri.

Pengerusi Jawatankuasa Undang-undang AMANAH Kelantan, Hisham Fauzi, berkata kenyataan bahawa Allayarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak pernah mengambil tindakan saman terhadap pemfitnah adalah tidak benar sama sekali.

"Hari ini saya terbaca satu berita melaporkan Nik Abduh mendakwa ayahandanyanya tidak pernah mengambil tindakan mahkamah ke atas orang yg memfitnah beliau.

"Kenyataan ini adalah mengelirukan dan tidak benar," katanya kepada Malaysiakini.

Hisham yang sebelum ini dilantik menjadi pengerusi Lajnah Undang-undang PAS Kelantan menegaskan beliau sendiri mengendalikan kes mahkamah berkenaan.

"Sepanjang saya berkhidmat sebagai pengerusi Lajnah Undang-undang PAS Kelantan pada penggal terakhir Allahyarham Tok Guru menjadi pesuruhjaya PAS negeri, saya terlibat mengendalikan beberapa kes mahkamah yang difailkan atas arahan beliau," katanya.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan Nik Abduh bertegas enggan bertindak balas atas tuduhan yang dikaitkan kepadanya berhubung satu rakaman audio tular di media sosial.

Kata Nik Abduh beliau tidak bercadang untuk membuat laporan polis atau bersumpah atas nama Allah untuk menafikan audio berkenaan adalah dirinya.

Menurut anggota Jawatankuasa Pusat PAS yang mendapat undi tertinggi daripada perwakilan parti itu semasa muktamar tahun lalu, penafian yang dibuatnya sebelum ini sudah memadai.

"Saya tak perlu report, saya tak perlu bersumpah dengan nama Allah kerana saya yakin saya telah bercakap benar, terserah kepada rakyat untuk menilai sendiri.

"Ayah saya sendiri beratus kali difitnah, satu kes pun dia tak bawa ke mahkamah. Dia tunggu urusan ini di mahkamah Allah SWT.

"Malulah saya, baru dua tiga kali kena fitnah tiba-tiba nak saman.

"Ayah saya dah kena beratus ribu kali, dia tak pernah saman," katanya semasa ditemui di hari terakhir sidang Dewan Rakyat hari ini.

Sangat utamakan maruah

Nik Abduh berkata demikian ketika ditanya tindakan sepupunya yang juga Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) kawasan Pasir Puteh, Kelantan, Mohd Sabri Salleh yang membuat laporan polis berhubung penyebaran rakaman audio yang didakwa mirip suaranya.

Hisham berkata antara saman yang pernah difailkan Nik Abdul Aziz melibatkan seorang penulis blog dan sebuah akhbar harian.

Katanya tindakan mahkamah itu diambil kerana defendan menyiarkan tuduhan mengatakan allahyarham memberikan tanah seluas 10,000 ekar kepada pimpinan DAP.

"Kes ini telah dibawa ke mahkamah dan sejumlah pampasan dibayar kepada allahyarham atas tuduhan tersebut," katanya.


Baca Nik Abduh: Fitnah, karut, mengarut


Hisham berkata sebuah syarikat penerbitan akhbar juga disaman Nik Abdul Aziz kerana menyiarkan laporan memetik kenyataan bekas pegawai tinggi kerajaan yang menuduh bekas menteri besar Kelantan itu sebagai "bapak kapir".

"Kes telah difailkan dan dibawa ke mahkamah. Sekali lagi allahyarham berjaya mendapat ganti rugi daripada tulisan tersebut," jelasnya.

Justeru Hisham berkata dia tidak faham bagaimana Nik Abduh boleh mengeluarkan kenyataan sedemikian hari ini.

"Sedangkan setakat yang saya kenali allahyarham Nik Abdul Aziz sangat mementingkan maruah dan tegas dalam mempertahankan hak," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS