Ketua bahagian Umno Bandar Tun Razak Datuk Rizalman Mokhtar yang ditahan atas dakwaan terlibat dengan dadah mempersoalkan penglibatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam serbuan pagi Isnin lalu.
Rizalman semalam tampil memberi penjelasan kepada pemimpin bahagiannya mendakwa serbuan itu "sangat mencurigakan".
Mengimbas semula kejadian serbuan itu, Rizalman berkata dia tiba di kelab malam itu pukul 11.30 malam selepas menerima jemputan oleh rakannya untuk berkaraoke di sebuah kelab malam.
"Kemudian, seawal jam 2 pagi, tiba-tiba bilik itu telah diserbu oleh SPRM dan pegawai polis.
"Mereka terus menuju ke bilik tersebut. Bukan operasi yang pergi setiap bilik. Terus pergi ke bilik 202.
"(Mereka) terus minta IC, tanya minum apa dan terus bawa kami ke balai. Proses tersebut berlaku dalam 15 minit," katanya dalam klip video yang dimuat naik bekas setiausaha bahagian Zaharin Mohd Yasin.
Pemeriksaan air kencing
Ketika tiba di balai polis, jelas Rizalman, situasi lebih pelik terjadi apabila kesemua 12 tahanan diperiksa urin dengan jagaan pegawai SPRM.
"Sampai di sana, terus dibuat pemeriksaan air kencing dengan disaksikan sendiri oleh pegawai SPRM, yang memang tak pernah dilakukan pun, dan (perkara ini) diperakui oleh polis.
"Pemeriksaan air kencing pun saya susah nak kencing. Saya kencing dua orang tunggu kiri dan kanan," katanya.
Jelas Rizalman lagi, keputusan pemeriksaan air kencingnya yang terakhir diproses.
"Kawan-kawan semua diorang punya kencing memang telah positif. Ketika saya punya keputusan keluar positif saja, mereka (lima orang pegawai SPRM) terus keluar.
"Bila mereka (pegawai SPRM) balik, polis bagitahu saya bahawa ini di luar kebiasaan. Mereka (polis) syak saya ada sebarang masalah dengan SPRM sebab yang mengusahakan serbuan ini adalah SPRM .
"Tetapi apa yang dicari, saya tak tau," katanya.
Malaysiakini masih gagal menghubungi Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad dan timbalannya Datuk Seri Azam Baki untuk mendapatkan ulasan berhubung dakwaan Rizalman.
Berdepan dengan wartawan
Mengulas lanjut, Rizalman berkata, dari segi prosiding mahkamah, dia hanya akan didapati bersalah selepas keputusan dikeluarkan oleh makmal bahawa dia positif dadah.
Namun peliknya, kata Rizalman, polis mengeluarkan kenyataan berdasarkan saringan awal dan berita mengenainya tular seawal 6 pagi.
"Sepatutnya dikatakan "dalam siasatan". Tapi segala-galanya telah terkeluar. Saya tidak tahu macam macam benda ni berlaku.
"Saya yakin ini merupakan satu game plan (rancangan) yang sangat terancang yang mengunakan segala sumber yang ada. Kesalahan saya adalah berada di tempat yang salah pada waktu yang salah.
"Game plan ini memang terancang akhirnya untuk merosakkan dan merosakkan nama (saya) supaya mengurangkan peluang kami (dalam pilihan raya)," katanya.
Baca Umno harap MCA berkorban demi BN
Untuk rekod, Rizalman melobi kepimpinan BN untuk menggesa MCA memberi laluan kepada Umno untuk meletakkan calon di Bandar Tun Razak.
Rizalman turut memaklumkan bahawa dia akan tetap mengadakan sidang media meskipun dengan tuduhan yang dilemparkan ke atasnya.
"Saya perlu berdepan dengan wartawan dan tidak menyorok di belakang kenyataan media (bertulis)," tambahnya.
Rizalman bagaimanapun enggan mengulas berhubung penglibatan SPRM yang disifatkannya sangat mencurigakan.
"Saya tidak akan sentuh soal operasi, tindakan SPRM yg sangat mencurigakan sampai polis tidak selesa dengan apa yang berlaku," katanya.
Dalam sidang media itu juga, Rizalman tidak menyebut nama pihak yang mensabotajnya secara spesifik.
Dia turut menegaskan bahawa dia dan rakan-rakannya hanya memesan dan minum Nescafe 3-in-1 ketika di kelab malam itu serta tidak mengambil apa-apa dadah.
Rizalman merupakan bekas tentera yang menjadi ahli perniagaan dan memegang jawatan di beberapa syarikan berkaitan kerajaan (GLC) selain merupakan pengerusi Jawatankuasa Pemulihan Dadah Cheras.