Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Sepupu Nik Abduh lapor polis, bersih nama Almarhum Tok Guru

Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) kawasan Pasir Puteh, Kelantan, Mohd Sabri Salleh tampil membuat laporan polis berhubung penyebaran rakaman audio yang didakwa mirip suara Anggota Parlimen Pasir Mas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

Sebagai anak saudara kepada bekas mursyidul am PAS, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat - dia rasa terpanggil dan mengambil tanggungjawab untuk membersihkan nama baik bekas menteri besar Kelantan itu yang turut disebut dalam rakaman itu.

"Saya sudah buat laporan polis terhadap rakaman audio itu, sebagai tanggungjawab saya untuk membersihkan nama baik keluarga terutamanya nama baik Almarhum Tok Guru (Nik Abdul Aziz) yang mana dalam rakaman audio tersebut ada ucapan berunsur fitnah terhadap almarhum.

"Ia susulan nama almarhum dikaitkan dengan menerima duit daripada Umno. Jadi atas rasa tanggungjawab kepada keluarga dan rasa terpanggil apabila Tok Guru sebagai seorang pemimpin yang disanjung tinggi tiba-tiba difitnah dengan teruk oleh ucapan yang suaranya mirip Nik Abduh," katanya kepada Malaysiakini selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh, hari ini.

Pada Februari lalu, klip audio di media sosial yang didakwa sebagai 'bukti' penyaluran wang oleh Umno kepada PAS tular di media sosial

Rakaman selama seminit 18 saat itu mendakwa PAS meminta RM2 juta daripada Umno dan ia dibuat dengan pengetahuan seorang pemimpin kanan PAS.

Antara lain, wang berkenaan didakwa bertujuan untuk kegunaan pada pilihan raya negeri Sarawak dan untuk menjatuhkan DAP.

Sementara itu, versi penuh audio tersebut disebar di media sosial minggu lalu antara lain mendedahkan beberapa pimpinan PAS mengambil wang daripada Umno selain suara yang dikatakan mirip Nik Abduh itu mendakwa mempunyai hubungan dengan pihak Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat.

Beberapa nama turut dipetik dalam rakaman audio tersebut termasuk Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan timbalannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan dan menantu Abdul Hadi, Zaharuddin Muhammad.

Ketika petikan pertama rakaman itu disebarkan baru-baru ini, Nik Abduh sudah membuat penafian.

Katanya, dakwaan berkenaan adalah "karut, mengarut dan fitnah" terhadap dirinya serta PAS.

Semalam Malaysiakini melaporkan, Mohd Sabri yang juga sepupu Nik Abduh mengakui betapa beliau yakin suara dalam rakaman itu milik ahli jawatankuasa PAS Pusat itu.

Justeru, melalui laporan polis yang dibuat hari ini mengharapkan satu siasatan dibuat terhadap audio tersebut dan pihak yang menyebarkannya.

"Ini satu perkara yang serius, sepatutnya bukan saya yang perlu buat laporan dan ambil tindakan tetapi yang lebih wajar adalah Nik Abduh sendiri sebagai anak dan anak-anak saudara almarhum yang masih berada dalam pimpinan PAS.

"Sepatutnya merekalah yang bersungguh untuk membersihkan nama almarhum daripada fitnah yang begitu jahat ini.

"Jadi dengan laporan polis ini, saya berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan sewajarnya bagi menyiasat siapakah empunya suara dalam audio tersebut atau siapa yang menyebarkan rakaman itu," jelasnya yang juga adik kepada Setiausaha Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Nik Zawawi Salleh.
 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS