Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memberi amaran bahawa adalah tidak bijak untuk menimbulkan kemarahan pahlawan Bugis.
Najib, yang berketurunan Bugis, berkata demikian semasa berucap di Majlis Himpunan Raksasa Guru-guru Silat 2018, di Gombak, semalam.
“Jangan main-main dengan Pendekar Bugis.
“Siapa yang nak mencarik-carik maruah orang Bugis, tunggu balasannya nanti," katanya yang dipetik oleh Astro Awani.
Menurut laporan itu, Najib berucap di hadapan kira-kira kira 5,000 pengamal seni silat negara.
Najib - yang keturunannya dikesan berasal dari Gowa, Suluwesi yang kini menjadi sebahagian dari Indonesia - sering melabel dirinya sebagai "pahlawan Bugis".
Bagaimanapun, pengkritik utamanya, Tun Dr Mahathir Mohamad, sebaliknya, menggelar perdana menteri sebagai "keturunan lanun Bugis" berhubung dakwaan penyelewengan dana 1MDB.
Kenyataan Mahathir itu mengundang kemurkaan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, yang kedua-dua baginda turut mempunyai darah keturunan Bugis.
Mereka menuduh bekas perdana menteri itu menghina masyarakat Bugis, dan ini menyaksikan polis kemudiannya membuka siasatan ke atas Dr Mahathir di bawah Akta Hasutan.
Mahathir menafikan tuduhan itu, dan berkata, sasarannya hanya adalah Najib.
Sementara itu, dalam ucapannya, Najib turut melahirkan rasa kagum terhadap prinsip yang diamalkan pengamal seni silat, iaitu sikap wala’ dan taat kepada kepimpinan negara.
"Kalau kita wala' dan setia, kita tidak akan bergaduh antara satu sama lain, kalau kita wala' dan setia, arahan pasti akan kita penuhi, kalau kita wala' dan setia tiadalah sikap seperti boikot dan menembak kaki sendiri, sabotaj dan lain-lain lagi.
"Bila saya tuntut wala' daripada anda semua ia bukan atas nama Najib Razak.. tetapi atas jawatan sebagai pemimpin utama negara Malaysia yang tercinta," katanya.
Pada majlis itu, Najib turut diapit oleh Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Tan Sri Dr Ali Rustam, dan Setiausaha Agung PESAKA, Datuk Megat Zulkarnain Omardin, yang juga merupakan Mahaguru Muda Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia.
Najib dalam ucapannya itu turut menempelak seorang pemimpin yang sudah berusia 93 tahun yang dilihat sanggup melanggar prinsip dan janjinya sendiri.
“Dia kini menjadi ‘Melayu Mudah Lupa’ pada dirinya sendiri.
"Malah berpakat pula dengan DAP iaitu sebuah parti yang dulunya beliau kutuk dan benci,” katanya yang jelas merujuk kepada Dr Mahathir.