Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz menganggap bekas Ketua Wanita Umno, Tan Sri Rafidah Aziz dengki dan cemburu kepada Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.
Menurutnya, tindakan bekas menteri kanan itu mengungkit kembali perihal National Feedlot Corporation (NFC) seolah-olah menunjukkan beliau masih terkesan dengan kekalahannya kepada Shahrizat sembilan tahun lalu.
Malah, kata Nazri, kenyataan Rafizah bahawa beliau sudah 10 tahun tidak menjadi ahli Umno membuktikan bekas menteri kanan itu kecewa kerana digugurkan pada 2008 dan kemudian tewas pula kepada Shahrizat pada 2009 bagi jawatan Ketua Wanita Umno.
“Sebab itu saya rasa dia memang dengki dan cemburu kepada Shahrizat. Dia cakap dah 10 tahun tak jadi ahli Umno, tak bayar yuran. Kita tak tahu pun dia tak bayar yuran Umno, dia buka pekung sendiri.
“Maknanya ia mengesahkan bahawa dia kecewa kena gugur. Jadi sah, dia kecewa laaa tu. Dia sebenarnya mengesahkan apa saya cakap sebelum ini.
“Hari itu saya kata dia meroyan tapi sekarang saya kata dia merempit, marah sangat,” katanya lapor Sinar Harian.
Nazri berkata demikian ketika ditemui dalam satu majlis di Padang Rengas, semalam.
Dalam pada itu, anggota Parlimen Padang Rengas itu turut mempersoalkan tindakan Rafidah mengungkit kembali kes NFC melibatkan Shahrizat.
Menurutnya, mahkamah memutuskan tiada kes dalam isu tersebut dan sepatutnya Rafidah menghormati perkara tersebut kerana ia merupakan keputusan mahkamah.
“Saya tahu dia pakai kaca mata tebal tapi bacalah sikit surat khabar. Kan mahkamah dah gugurkan kes itu, jadi tiada kes.
“Saya ingat akta anti fake news dibuat kerana orang macam dia sebab dah jadi fake pun berita itu (berita mengaitkan Shahrizat dengan NFC),” tegas beliau.
Mohamed Nazri dalam pada itu turut mengucapkan "terima kasih" kepada Rafidah kerana memberitahu bahawa bekas Anggota Parlimen Kuala Kangsar itu tidak memikirkan perihal dirinya dalam kehidupan seharian.
“Terima kasih kepada Rafidah kerana beritahu orang ramai dia tidak pernah fikirkan pasal saya, kalau tidak saham saya dalam pasaran jatuh kalau seorang makcik tua fikir saya hari-hari.
"Saya tak mahu dia fikir pasal saya hari-hari, jatuh saham saya nanti,” katanya.