Akhbar harian Amerika Syarikat (AS) Washington Post percaya cadangan Malaysia menggubal undang-undang anti berita tidak benar hanyalah alasan untuk penapisan.
Dalam lidah pengarang terbit pada 29 Mac 2018, harian itu berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memang dikenali kerana mengongkong kebebasan bersuara, memetik kes blogger dan wartawan yang dikenakan tindakan undang-undang kerana menyindir atau mengkritik beliau.
"Rang undang-undang ini suatu amaran akan bahaya apabila kerajaan menentukan apa yang benar dan apa palsu," tulis editorial Washington Post.
Akhbar harian itu juga menjelaskan bagaimana Najib terlibat dalam skandal 1MDB. Meskipun Najib telah berulang kali menafikan sebarang salah laku, harian itu percaya RUU Anti Berita Tidak Benar 2018 itu bertujuan untuk mengekang perbincangan media mengenai skandal itu.
Berita berkaitan: 'Laporan PAC tak kata saya curi wang 1MDB'
"Kami tidak memandang ringan masalah kebenaran dalam ribut arus maklumat hari ini.
"Tetapi sebuah masyarakat terbuka perlu menjamin hak untuk menyuarakan pelbagai jenis pandangan, termasuklah kritikan terhadap pemimpinnya, dengan beberapa batasan yang disertai proses yang berdasarkan kedaulatan undang-undang.
"Cadangan undang-undang Malaysia itu kelihatan lebih untuk menjadi alat kerajaan yang secara sewenang-wenangnya digunakan untuk mengawal dan menganggu," kata editorial itu lagi.
Harian itu turut menyatakan Singapura juga sedang melakukan hal yang sama, manakala China sudah lama mengamalkannya.
"Ia dipanggil penapisan," tulis Washington Post.
Harian itu juga memetik Presiden AS Donald Trump yang 'menjuarai' istilah 'berita palsu' (fake news) untuk laporan yang tidak beliau gemari, juga untuk memperlekehkan wibawa media dengan menciptakan kekeliruan sama ada sesuatu berita itu benar atau palsu.
Dalam hal ini, akhbar itu mengakui 'gerombolan pengguna sosial media' turut menangguk di air yang keruh dengan menyebarkan laporan-laporan berniat jahat.
"Dalam persekitaran sedemikian, sebuah masyarakat yang bebas perlu mendedikasikan untuk suara-suara yang tidak dibelenggu, membenarkannya untuk subur dan mengawalnya dengan aturan secara berhati-hati.
"Ya, penerbit, platform dan warga perlu berjaga-jaga dengan sampah dan pencemaran dalam aliran berita.
'Cipta berita palsu sebenar'
"Tetapi mengenakan kawalan kerajaan hanya akan menciptakan satu perkara: berita palsu sebenar," tulis Washington Post.
Rang Undang-Undang Antiberita Tidak Benar 2018 yang dicadangkan kerajaan memperuntukan denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga 10 tahun, atau kedua-duanya, bagi mereka yang mengadakan, menawarkan dan menerbitkan berita tidak benar.
Hukuman sama juga boleh dikenakan ke atas mereka yang menyediakan bantuan kewangan bagi maksud melakukan atau memudahkan pelakuan penghasilan berita tidak benar itu.
Antara peruntukan penting yang dicadangkan RUU itu ialah Akta itu apabila dikuatkuasakan boleh dikenakan terhadap mana-mana pihak sama ada warganegara atau warga asing yang melakukan kesalahan berita tidak benar terhadap Malaysia atau warganegara Malaysia, di luar Malaysia, seolah-olah ia telah dlakukan di dalam Malaysia.