Datuk Seri Anwar Ibrahim berjanji akan menjadikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai sebuah badan yang benar-benar bebas jika Pakatan Harapan (HARAPAN) menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-14.
Ketua Umum PKR itu turut berikrar akan memansuhkan undang-undang antiberita palsu yang dijangka diluluskan di Dewan Rakyat tidak lama lagi.
"Pakatan Harapan akan mewujudkan satu suruhanjaya pilihan raya yang benar-benar bebas dan memansuhkan undang-undang antiberita tidak benar ini.
"Saya gesa seluruh rakyat Malaysia untuk keluar beramai-ramai dan mengundi Pakatan Harapan untuk menyahkan BN dari Putrajaya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menyentuh mengenai persempadanan pilihan raya baru yang dibentangkan di parlimen, Anwar berkata ia merupakan perkara serius yang sepatutnya diberikan masa secukupnya untuk dibahas dan dibincangkan.
Bagaimanapun, katanya, usul itu dibuat secara tergesa-gesa melalui proses yang hanya mengambil masa selama dua jam.
"Ini bukanlah satu proses persempadanan semula yang betul yang mengikut lunas undang-undang, tetapi satu usaha persempadanan yang jelas melanggar semangat berperlembagaan.
"Ia adalah pengakuan bahawa BN akan kalah PRU14 jika sempadan sedia ada digunakan," katanya yang masih menjalani hukuman di penjara.
Anwar juga mengkritik rang undang-undang antiberita palsu yang dibentangkan di Dewan Rakyat dengan menyifatkannya sebagai 'tindakan desperado'.
Beliau berkata BN mahukan undang-undang baru itu mengongkong dan menghalang orang ramai daripada membincangkan skandal 1MDB serta skandal lain yang dikaitkan denga kerajaan.
"Dalam meluluskan RUU ini, BN dengan jelas menyerang golongan muda yang rata-rata bakal menjadi mangsa utama undang-undang zalim ini.
"Berita palsu atau tidak benar sememangnya boleh ditangani dengan undang-undang sedia ada berkaitan isu fitnah.
"Adakah kita hanya akan duduk diam bila pencuri penyamun yang merompak berbilion wang rakyat berkuasa mentakrifkan apa itu berita palsu?" soalnya.
Perbahasan rang undang-undang antiberita palsu akan diteruskan di Dewan Rakyat pada hari Isnin.
Pembangkang dan pengamal undang-undang berpendapat definisi berita palsu dalam rang undang-undang itu terlalu kabur dan terdedah kepada penyalahgunaan.