Bekas anggota Parlimen Sabak Bernam Datuk Abdul Rahman Bakri dan pembantunya Rosli Busro kekal bebas daripada lapan pertuduhan melakukan tuntutan palsu RM80,000 berhubung program rakyat.
Ini berikutan Mahkamah Rayuan hari ini yang diketuai Hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh menolak rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membebaskan Abdul Rahman dan Rosli atas pertuduhan itu.
Hakim Mohd Zawawi yang bersidang bersama Hakim-Hakim Datuk Kamardin Hashim dan Datuk Rhodzariah Bujang berkata mahkamah membuat keputusan sebulat suara itu selepas mendapati terdapat beberapa elemen dalam pertuduhan yang menimbulkan keraguan berhubung siapa prinsipal dan sama ada responden (Abdul Rahman dan Rosli) mempunyai niat untuk melakukan kesalahan berkenaan.
Beliau berkata, mahkamah bersetuju dengan keputusan hakim Mahkamah Tinggi bahawa terdapat elemen kecuaian dalam kes itu, namun tiada elemen kecurangan.
“Saya di sini hendak mengingatkan pihak-pihak untuk mengambil tindakan yang berhati-hati ketika membuat tuntutan.
"Oleh itu rayuan ditolak. Kamu dilepaskan dan dibebaskan,” kata Hakim Mohd Zawawi kepada Abdul Rahman, 53, dan pembantunya Rosli, 50, yang berdiri di luar kandang tertuduh.
Kedua-dua lelaki itu berpelukan dan menitiskan air mata selepas keputusan itu dan ahli keluarga mereka yang hadir turut mengalirkan air mata. Abdul Rahman ketika ditanya mengenai keputusan itu berkata “Syukur Alhamdulillah”.
Sebelum ini, Abdul Rahman dan Rosli dihukum penjara masing-masing enam tahun dan denda berjumlah RM400,000 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 29 Feb 2012 selepas didapati bersalah atas lapan pertuduhan itu.
Pada 11 Okt 2012, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Datuk Akhtar Tahir mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen selepas menolak rayuan Abdul Rahman dan Rosli lalu mereka merayu ke Mahkamah Rayuan.
Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan pada 29 Mac 2016, memerintahkan kes itu dikembali semula ke Mahkamah Tinggi untuk mendengar hujahan dan pada 27 Mei 2016 Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Ghazali Cha mengetepikan hukuman itu dan membebaskan mereka daripada pertuduhan selepas membenarkan rayuan mereka terhadap sabitan dan hukuman itu.
Pendakwaan merayu terhadap keputusan pembebasan itu ke Mahkamah Rayuan dan mahkamah itu hari ini mengekalkan pembebasan mereka. Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Tengku Intan Suraya Tengku Ismail manakala kedua-dua lelaki itu diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.
Abdul Rahman didakwa menggunakan dokumen peruntukan palsu iaitu Surat ADUN mengandungi butiran bagi tuntutan program dan aktiviti yang tidak pernah dijalankan. Semua tuntutan palsu itu membabitkan RM10,000 setiap satu.
Tuntutan itu membabitkan pembelian hadiah, cenderamata dan jamuan Program Motivasi Pelajar peringkat Dewan Undangan Negeri Sungai Air Tawar; Program Mesra Rakyat dan Hari Keluarga di Dewan Simpang 4 Bagan Nakhoda Omar (BNO); Program Forum Perdana peringkat Mukim BNO; Program Mesra Rakyat dan sambutan Maulud Nabi dan Program Mesra Rakyat Hari Keluarga Guru Kemas.
Abdul Rahman dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Daerah Sabak Bernam antara 21 Jan dan 12 Feb 2008.
Bagi setiap pertuduhan, beliau didakwa mengikut Seksyen 11(c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Rosli pula didakwa bersubahat dengan Abdul Rahman melakukan kesemua kesalahan itu.
- Bernama