Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hubungan CIA-PAS: Polis belum ada maklumat, kata IGP

Ketua Polis Negara Tan Sri Fuzi Harun berkata pihaknya tiada butiran berkaitan audio rakaman yang dikatakan mirip suara seorang pemimpin PAS yang mendakwa mempunyai hubungan dengan pihak Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat.

“Tak ada, kita pun tak tahu. Kita tak dapat maklumat apa-apa hal itu, saya tak dapat details, saya tak dapat komen isu CIA,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan Persatuan Isteri-isteri Polis (Perkeb) di Pusat Dagangan Dunia Putra, hari ini.

Fuzi berkata demikian ketika ditanya mengenai rakaman audio suara yang dikatakan mirip suara Anggota Parlimen Pasir Mas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang mendakwa mempunyai hubungan dengan CIA Amerika Syarikat.

Fuzi ketika ditanya adakah pihaknya akan mengambil tindakan selepas siasatan dibuat berkata mereka akan melihat dulu berkaitan perkara itu.

“Kita kena tengok dulu. Asas apa dakwaan-dakwaan itu,” katanya.

Pada Februari lalu, klip audio di media sosial yang didakwa sebagai 'bukti' penyaluran wang oleh Umno kepada PAS menjadi tular.

Rakaman selama seminit 18 saat itu mendakwa PAS meminta RM2 juta daripada Umno dan ia dibuat dengan pengetahuan seorang pemimpin kanan PAS.

Antara lain, wang berkenaan adalah untuk kegunaan pada pilihan raya negeri Sarawak dan untuk menjatuhkan DAP.

Versi penuh audio tersebut disebar di media sosial antara lain mendedahkan beberapa pimpinan PAS mengambil wang daripada Umno selain suara yang dikatakan Nik Abduh mendakwa mempunyai hubungan dengan agensi CIA Amerika Syarikat.

Beberapa nama turut dipetik dalam rakaman audio itu termasuk Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan timbalannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan dan menantu Abdul Hadi, Zaharuddin Muhammad.

Ketika petikan pertama rakaman itu disebarkan baru-baru ini, Nik Abduh sudah membuat penafian.

Katanya, dakwaan berkenaan adalah "karut, mengarut dan fitnah" terhadap dirinya serta PAS.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS