Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Husam: Pakar London siasat suara 'ambil duit Umno'

Pakatan Harapan (HARAPAN) Kelantan difahamkan audio rakaman yang dikatakan mirip seorang pemimpin PAS yang bercakap tentang pembiayaan daripada Umno telah dihantar ke London untuk dianalisis.

Pengerusi HARAPAN Kelantan, Husam Musa berkata siasatan itu dilakukan seorang profesor yang pakar dalam bidang siasatan fonetik atau pengecaman suara bernama Allen Hirson.

"Saya difahamkan audio ini telah dihantar ke makmal City Universty di London, dikaji oleh seorang profesor di sana. Seorang pensyarah bahagian fonetik, bernama Allen Hirson

"Dia telah mengendalikan 1,100 kes di mahkamah berkaitan dengan mengecam suara orang," katanya dalam ceramah di Kota Bharu, malam semalam.

Pada Februari lalu, klip audio di media sosial yang didakwa sebagai 'bukti' penyaluran wang oleh Umno kepada PAS menjadi tular.

Rakaman selama seminit 18 saat itu mendakwa PAS meminta RM2 juta daripada Umno dan ia dibuat dengan pengetahuan seorang pemimpin kanan PAS.

Antara lain, wang berkenaan adalah untuk kegunaan pada pilihan raya negeri Sarawak dan untuk menjatuhkan DAP.

Mengulas lanjut, Husam berkata, pada 30 April depan audio tersebut akan dibawa ke mahkamah di London pula bagi menentukan kesahihan pemilik suara tersebut susulan kajian dibuat oleh Hirson.

"Jadi insya-Allah, kita di sini tak perlu bergaduh dan akan dibawa ke mahkamah di London pada 30 April akan datang. Bukan saya yang bawa, orang lain. Saya tolong bagitahu saja.

"Saya cam suara dia (Nik Abduh) sejak kecil lagi, secara saintifik kita boleh hantar ke makmal," jelasnya.

Sementara itu, versi penuh audio tersebut disebar di media sosial antara lain mendedahkan beberapa pimpinan PAS mengambil wang daripada Umno selain suara yang dikatakan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mendakwa mempunyai hubungan dengan pihak Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat.

Beberapa nama turut dipetik dalam rakaman audio itu termasuk Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan timbalannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan dan menantu Abdul Hadi, Zaharuddin Muhammad.

Ketika petikan pertama rakaman itu disebarkan baru-baru ini, Nik Abduh sudah membuat penafian.

Katanya, dakwaan berkenaan adalah "karut, mengarut dan fitnah" terhadap dirinya serta PAS.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS