Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
500 peneroka Ijok akan heret Azmin ke mahkamah, kata peguam
Diterbitkan:  Mar 29, 2018 11:30 AM
Dikemaskini: 3:35 AM

Lebih ramai peneroka di mukim Ijok bakal menyaman Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan kerajaan negeri berhubung penjualan 880 hektar tanah di kawasan itu, kata seorang peguam.

Menurut peguam yang mewakili peneroka, Datuk Ahmad Kamarudin, setakat hari ini seramai 250 peneroka telah menyertainya dan angka itu dijangka meningkat kepada 500 orang selepas pihaknya mengadakan sesi penerangan isu Ijok di Tanjong Karang dalam tempoh terdekat.

“Ekoran tindakan saman peneroka pada 13 Mac lalu, makin ramai peneroka bangkit dan berani menampilkan diri untuk menuntut hak mereka.

“Sebelum ini mereka tidak sedar ada unsur kecuaian dan penipuan dalam penyelesaian itu serta tidak berani kerana bimbang kehilangan hak mereka,” katanya yang dipetik oleh akhbar Utusan Malaysia, hari ini.

Sebelum ini, seramai 113 peneroka Ijok yang tidak berpuas hati telah memfailkan saman terhadap Azmin dan lima defendan lain, antara lain, untuk menuntut pampasan lebih tinggi dibayar berdasarkan nilai semasa tanah mereka.

Ini di sebalik perjanjian penyelesaian yang dicapai dengan pemaju swasta yang melibatkan pampasan wang tunai RM180,000 dan sebuah rumah yang bernilai sekurang-kurangnya RM500,000 untuk setiap peneroka.

Kumpulan peneroka yang menyokong penyelesaian itu hadir di Dewan Undangan Negeri Selangor pada Isnin lal. Mereka mendakwa 863 daripada 981 peneroka telah menandatangani perjanjian berkenaan.

BN menjadikan urus niaga RM1.18 bilion di Ijok itu sebagai isu dan mempersoalkan mengapa pampasan yang diberikan sebegitu kecil berbanding nilai jualan tanah. Mereka juga mempertikaikan mengapa perkara itu diselesaikan sebelum menjalani proses undang-undang yang wajar di Mahkamah Persekutuan.

Jawapan kerajaan negeri, antara lain, adalah keputusan penyelesaian di luar mahkamah dicapai sebagai penyelesaian menang-menang bagi semua pihak yang terlibat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS