Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Saya nak debat Najib dan Hadi, bukan konco mereka'

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan bahawa beliau tidak akan menghadiri forum “Layakkah Tun Mahathir Menjadi PM Sekali Lagi" yang dianjurkan oleh sebuah NGO mesra PAS, esok.

Beliau menganggap panelis jemputan dalam forum itu sebagai tidak layak dan tidak tahu cara berdebat.

Sebaliknya, Dr Mahathir mengajak Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak berdebat dengannya.

“Oleh kerana dia nak jemput saya, saya nak jemput Hadi dengan Najib. Saya ketua parti, dia pun ketua parti juga. Jadi Hadi dengan Najib patutlah datang. Janganlah buat macam forum Nothing to hide, lari.

“Kalau dia nak datang, saya jemput dia datang, saya boleh bagi makan pun. Tapi buatlah dengan orang yang ni, kalau nak (debat tapi) cari konco-konco yang tak layak, tak tahu nak debat, tak payah lah,” katanya kepada pemberita di Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini.

Dr Mahathir berkata demikian mengulas jemputan forum "Layakkah Tun Mahathir Menjadi PM Sekali Lagi" anjuran NGO mesra PAS, esok di Dewan Purnama Pengekalan Chepa, Kota Bharu Kelantan.

Forum itu adalah rentetan daripada forum wacana Sinar Harian “Adakah Tun M terlalu Tua untuk jadi PM?” minggu lalu yang turut dikejutkan dengan kehadiran Dr Mahathir sendiri.

Siri wacana itu disertai Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (Mapan) Universiti Utara Malaysia (UUM), Kamarul Zaman Yusoff, pakar psikologi, Prof Datuk Mat Saat Mohd Baki dan Cikgu Fitness Malaysia, Kevin Zahri Abdul Ghaffar.

Manakala panelis yang akan turut serta pada forum “Layakkah Tun Mahathir Menjadi PM Sekali Lagi" adalah Kamarul Zaman, Ketua Pemuda PAS Kelantan Ahmad Fadhli Shaari, dan Ketua penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) CheguBard.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS