Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Perbicaraan bagi semakan kes pernikahan membabitkan pemimpin tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berlangsung di Mahkamah Tinggi Syariah Kelantan tanpa kehadiran beliau hari ini.

Menurut sumber, Enakmen Pentadbiran Mahkamah Syariah Kelantan membenarkan prosiding berkenaan tanpa kehadiran Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad dan isteri keduanya, Shazree Mohd Hatta.

“Permohonan semakan ini juga tidak memerlukan sebarang perbicaraan dan mahkamah boleh menetapkan sebarang keputusan dan tarikh semakan kemudian," katanya.

Kata sumber itu, permohonan semakan kes pernikahan Dzulkifli dan Shazreen itu dibuat di hadapan hakim Norhasney Ridhwan Hassan.

Katanya prosiding itu dibuat selepas Mahkamah Tinggi Syariah Kelantan menerima permohonan semakan terhadap pendaftaran perkahwinan Dzulkefli.

"Ia membabitkan pernikahan Dzulkefli di sebuah hotel di Kota Bharu pada 24 Januari lalu," katanya.

Semakan itu dibuat susulan aduan terhadap Mahkamah Tinggi Syariah Kelantan, berdasarkan Seksyen 9(3) Enakmen Pentadbiran Mahkamah Syariah Negeri Kelantan No 3 Tahun 1982.

Berdasarkan peruntukan itu, Mahkamah Qadhi Besar antaranya hendaklah memeriksa mana-mana rekod pembicaraan Mahkamah Qadhi Khas atau Qadhi Jajahan dan boleh mengubah keputusan dalam sesuatu kes yang dijalankan di Mahkamah Rendah Syariah.

Difahamkan pasangan berkenaan berdepan isu nikah tanpa kebenaran Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk, Jabatan Hal Ehwal Islam Kelantan.

Kata sumber, mahkamah rendah terbabit menetapkan hari ini sebagai tarikh semakan dalaman terhadap pendaftaran perkahwinan berkenaan.

Sementara itu, sumber lain berkata terdapat isu melibatkan dokumen-dokumen berkaitan perkahwinan.

Malaysiakini sudah cuba menghubungi Dzulkifli untuk mendapatkan komen beliau mengenai kes berkenaan dan sedang menunggu maklum balasnya.

Sementara itu, walaupun tanpa kelibat Dzulkifli, kes itu turut mendapat perhatian pelbagai media yang hadir membuat liputan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS