Program Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), yang sedang dibangunkan kerajaan, meramal banjir akan berlaku di 70 peratus kawasan lembangan sungai di seluruh negara, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Beliau memberitahu Dewan Rakyat bahawa projek itu, yang dibangunkan secara tiga fasa bermula 2015 dan dijangka siap sepenuhnya pada 2022, dapat meramal hujan lebat tujuh hari lebih awal selain meramal banjir dua hari sebelum berlaku.
“Jadi, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) boleh memberi amaran awal kepada pihak berkuasa yang terlibat dengan banjir dan kesiapsiagaan banjir dapat ditingkatkan.
“Selepas ini, masyarakat juga dapat diberitahu (mengenai amaran banjir) dua hari lebih awal supaya mereka dapat berpindah dengan lebih awal,” katanya semasa sesi pertanyaan menteri pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan Datuk Seri Irmohizam Ibrahim (BN-Kuala Selangor) yang bertanya sejauh mana keyakinan kementerian untuk memastikan PRABN berfungsi bagi memberi maklumat kepada pihak berkuasa.
Wan Junaidi berkata projek jangka panjang itu, yang dilaksanakan di 40 lembangan sungai di seluruh negara itu, melibatkan kos kira-kira RM550 juta.
Menjawab soalan tambahan Dr Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) yang bertanya bagaimana kementerian dapat meningkatkan kerjasama antara negeri, Wan Junaidi berkata sebuah jawatankuasa peringkat nasional akan diwujudkan bagi menyelaraskan kerja-kerja pengurusan bencana banjir.
“Sebenarnya pihak berkuasa di setiap negeri dah ada SOP (prosedur operasi standard) masing-masing, jawatankuasa ini akan melihat SOP yang akan dilaksanakan supaya tidak berlaku gangguan dan kerja-kerja dapat diselaraskan.” katanya.
- Bernama