DUN Selangor | Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali melakukan tindakan yang sama dengan Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Tun Dr Mahathir Mohamad apabila beliau hadir dan kelihatan memerhatikan sekumpulan ADUN Umno yang mengadakan sidang akhbar mengkritik kerajaan negeri.
Bertempat di lobi Dewan Undangan Negeri Selangor hari ini, Azmin berdiri bersama-sama wartawan yang membuat liputan sidang akhbar dan tersenyum ke arah ADUN Umno tersebut kira-kira dua minit.
ADUN Umno yang diketuai ADUN Batang Kali, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan menyenaraikan dakwaan 10 kegagalan kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan (HARAPAN) dan PAS.
Kemudian, Azmin yang ditemani beberapa orang ADUN HARAPAN meninggalkan sidang akhbar itu sambil tertawa.
Khamis lalu, pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (Mapan) Universiti Utara Malaysia, Kamarul Zaman Yusoff menjadi 'bahan jenaka' di media sosial selepas mengkritik Mahathir pada majlis Wacana Sinar Harian di Shah Alam dan beliau didakwa 'terkucil' apabila mantan perdana menteri itu muncul secara tiba-tiba.
Bagaimanapun, Kamarul Zaman menafikan beliau terkucil dengan kemunculan Mahathir
Pada majlis itu, Mahathir meminta Kamarul untuk mengatakan kritikannya secara berdepan tetapi Kamarul kelihatan menukar nada perbincangannya dan tidak selesa apabila Mahathir merenung ke arahnya.Hari ini merupakan hari pertama sidang DUN Selangor yang akan berlanjutan sehingga Jumaat ini.
Turut sama mendengar Sidang Media Ahli-Ahli Dewan Negeri UMNO Selangor. Memang terserlah ketokohan Batang Kali. Kononnya 10 tahun & 10 kegagalan. 😎 pic.twitter.com/snlPhIWtps
— Mohamed Azmin Ali (@AzminAli) March 26, 2018