DUN Kelantan | Kerajaan Kelantan mengakui kadar premium baharu tanah yang diperkenalkan pada 2015 adalah tinggi berbanding kadar sebelumnya.
Bagaimanapun, kata Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, kerajaan negeri telah memperkenalkan beberapa kaedah terutamanya bagi membantu golongan kurang berkemampuan memiliki tanah sendiri.
"Kerajaan sedar kenaikan agak tinggi berbanding kadar sebelum ini namun pemohon boleh mengisi borang-borang tertentu di Pejabat Tanah dan Jajahan untuk mendapatkan pengurangan premium tersebut.
"Mereka boleh memohon pemotongan 70 peratus hingga 80 peratus daripada jumlah premium asal. Selain itu, jika tak mampu bayar secara sekaligus, mereka boleh bayar secara ansuran sehingga 10 kali bayaran," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim di Kota Bharu, hari ini.
Mohd Amar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wilayah, Tanah dan Sumber Asli menjawab soalan Datuk Seri Mustapa Mohamed (BN-Ayer Lanas) yang mahu tahu sama ada kadar premium tanah yang dikenakan pada masa ini akan terus dikekalkan.
Kadar premium bagi lot getah dan kelapa sawit ialah RM1,820, lot dusun dan kelapa (RM1,092) dan padi (RM182) selain tambahan satu peratus bagi harga pasaran kerajaan. Kadar lama adalah sekitar RM750 bagi setiap 0.4 hektar (satu ekar) tanah.
Menjawab soalan tambahan Datuk Ramzi Ab Rahman (BN-Dabong) mengenai pemohon yang membuat permohonan sebelum 2015 tetapi perlu membayar dengan kadar premium yang baharu, Mohd Amar berkata pemohon berkenaan boleh mengemukakan surat rayuan kepada Pejabat Tanah dan Jajahan masing-masing.
"Kalau ada kes seperti yang dikatakan Dabong, kita akan beri pertimbangan kepada kes-kes sebegini. Pemohon perlu tulis surat (rayuan)," katanya.
Persidangan bersambung esok.
-Bernama