Paling Popular
Terkini

Kelantan mempamerkan prestasi cemerlang dalam sektor perternakan haiwan pedaging khususnya bagi industri 'lembu sado' di Malaysia.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Teknologi Hijau Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, perkara susulan kejayaan kerajaan Kelantan memperkenalkan Pelan Pembangunan Sistem Lembu Pedaging Hibrid atau dikenali sebagai pelan Naim Beef.

Menurutnya, rancangan tersebut juga dipersetujui oleh kementerian berkaitan untuk dijadikan sebagai Dasar Pembangunan Lembu Sado di peringkat nasional.

"Maknanya kita sekali lagi menerajui dan mendahului dalam sektor penternakan ini.

"Jadi pengeluar lembu hibrid jenama Kelantan melalui sistem penternakan fidlot merupakan rancangan jangka panjang Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kelantan dalam usaha kerajaan menjenamakan sistem pengeluaran baka lembu kacukan beridentiti masyarakat Kelantan.

"Ia boleh dikomersialkan dengan ciri-ciri menarik seperti daging bermutu tinggi, jinak, mudah sesuaikan diri dengan persekitaran, induk yang bersifat keibuan, produktif dan sesuai dengan pemakanan hijau serta sisa pertanian," katanya ketika menjawab soalan tambahan dalam sesi Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan bagi kali keempat penggal kelima di Kota Bharu, hari ini.

Che Abdullah yang juga anggota dewan undangan negeri (ADUN) Wakaf Bharu berkata, Kelantan telah melahirkan seramai 19,840 orang penternak sekali gus angka terbesar bagi seluruh negara.

"Melalui pelan Naim Beef ini pengusaha terlibat dan mampu memenuhi kriteria-kriteria yang ditetapkan akan diberi pengiktirafan melalui proses akreditasi oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar selaku jabatan teknikal yang bertanggungjawab dalam memantau pelaksanaan rancangan tersebut.

"Naim Beef adalah satu sistem pengeluaran lembu pedaging yang mendapat akreditasi melalui penggunaan induk kacukan charoleis generasi F2 dan F3 sebagai keperluan minima yang mencapai tahap piawaan kualiti ditetapkan," jelasnya.

Mengulas kelebihan 'lembu sado' iaitu gelaran bagi lembu cantik dan bersaiz besar dari Kelantan, beliau menambah, haiwan ternakan itu menjadi jinak dan boleh sesuaikan diri dengan persekitaran negeri itu.

Menurutnya, lembu-lembu dari Kelantan berkelakukan sebaliknya apabila dibawa keluar ke negeri-negeri lain.

"Ada penternak dari Kedah beli lembu Kelantan untuk bela di sana agak pelik apabila lembu yang begitu jinak jadi tak jinak bila di bawa keluar dari Kelantan," kata Che Abdullah bagi menjawab soalan tambahan dikemukakan ADUN Gaal, Tuan Mazlan Tuan Mat (PAS).

Susulan itu beliau berkata, berdasarkan perkembangan terkini penternakan lembu kacukan di Kelantan semakin berkembang pesat dan berjaya menarik peminat-peminat lembu cantik dari dalam dan luar negeri.

"Kerajaan negeri merancang untuk mengambil peluang ini melalui pendekatan menjadikan penternakan lembu hibrid sebagai pemacu kepada penjaan ekonomi masyarakat penternak Kelantan," jelasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS