Ketua pengarang Malaysiakini Steven Gan berkata Rang Undang-Undang Antiberita Tidak Benar merupakan satu lagi alat untuk menindas.
Gan, pengasas bersama Malaysiakini yang mengasaskan portal berita atas talian itu bersama ketua pegawai eksekutif Premesh Chandran mengingatkan petikan dalam buku 1984 oleh penulis George Orwell.
"George Orwell pernah menulis, 'kebebasan adalah kebebasan untuk mengatakan dua tambah dua sama dengan empat'. Hari ini rakyat Malaysia semakin hampir untuk hilang kebebasan itu.
"Malaysia sudah mempunyai beberapa undang-undang yang diguna - serta disalah guna - bagi mengekang berita palsu. Undang-undang terbaru ini lebih dari sekadar satu lagi bentuk kawalan oleh kerajaan; ia boleh membunuh demokrasi yang sedia tenat yang kita ada.
"Berita palsu kini ditentukan oleh kerajaan. Dua tambah dua tidak sama dengan empat jika kerajaan tentukan seperti itu," katanya.
Sementara itu, Premesh turut menyelar percubaan terbaru menyekat kebebasan media dan kebebasan bersuara.
"Ini adalah undang-undang yang regresif (mundur), yang mahu mencampakkan Malaysia kembali ke era maklumat disekat. Mereka yang berkuasa mahu memonopoli kebenaran dan kepalsuan melalui ketakutan.
"Seperti disebutkan Gan, sudah cukup banyak undang-undang yang wujud untuk menangani berita palsu.
"Yang cuba dilakukan nampak lebih kepada undang-undang, tidak begitu bertujuan menangani berita palsu, tapi untuk menghalang penyebaran maklumat yang tidak menyenangkan golongan yang memegang kuasa.
"Sangat menyakitkan hati apabila sebuah pentadbiran yang berjanji membawa Malaysia ke hadapan kini mengambil langkah ke belakang," katanya.
RUU Antiberita Tidak Benar 2018 mencadangkan agar denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga 10 tahun, atau kedua-duanya sekali bagi pihak yang didapati bersalah menyebarkan "berita palsu".
RUU berkenaan mentakrif "berita palsu" sebagai "sebarang berita, maklumat, data dan laporan yang sebahagian atau sepenuhnya palsu, sama ada disiarkan dalam bentuk rencana, visual, rakaman audio atau apa-apa bentuk lain."
Hukuman sama akan turut dikenakan terhadap pihak yang memberi bantuan kewangan atau membantu menghasilkan "berita palsu".