Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAC juga tak sebut Najib tak curi duit 1MDB, kata Pua
Diterbitkan:  Mar 24, 2018 10:30 PM
Dikemaskini: 2:37 PM

Anggota Jawatankuasa Kira-Kira Awam (PAC) Tony Pua berkata laporan jawatankuasa itu tidak ada mengatakan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mencuri wang dari dana pelaburan 1MDB.

Bagaimanapun, menurutnya, laporan itu juga tidak menyebutkan perdana menteri tidak mencuri wang 1MDB.

"Peranan perdana menteri dalam skandal mega RM50 bilion itu tidak pernah disebutkan dalam laporan PAC kerana PAC tidak pernah diberi peluang menyiasat Najib.

"Meskipun PAC tidak pernah menyiasat sumber RM2.6 bilion, Najib tanpa malu-malu memberitahu rakyat Malaysia seluruh negara bahawa PAC 'membersihkan' nama beliau dari salah laku," kata Pua dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, perdana menteri menegaskan bahawa siasatan PAC ke atas 1MDB tidak menyebutkan bahawa beliau ada mencuri wang 1MDB.

Meskipun bekas pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed sebelum ini bersetuju bahawa Najib perlu menjawab peranannya dalam 1MDB, Pua menjelaskan pengganti Nur Jazlan Datuk Hasan Arifin bagaimanapun menolak semua percubaan untuk memanggil Najib membantu siasatan PAC.

"Ahli BN dalam PAC menghalang semua percubaan seumpamanya dengan alasan 'perdana menteri tidak terlibat' atau 'Najib tidak relevan dengan siasatan'," kata Pua.

Anggota parlimen Petaling Jaya Utara itu turut menjelaskan skop siasatan PAC terbatas pada penilaian semula penyata kewangan 1MDB.

"Tak ada skop dipberikan bagi menyiasat dakwaan 'derma' RM2.6 bilion yang dimasukkan dalam akaun peribadi perdana menteri," katanya merujuk kepada muka surat enam laporan PAC berkenaan.

Meskipun berulang kali diminta oleh ketua audit negara dan PAC, 1MDB juga tidak pernah menyerahkan penyata kewangannya bagi akaun bank di luar negara, kata Pua.

"Tanpa dokumen dan bukti-bukti penting ini, bagaimana PAC boleh dakwa Najib tidak pernah ambil wang 1MDB?" soalnya.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS