Barisan Nasional (BN) akan mengkaji semua syarat tambahan dikenakan kerajaan Selangor yang telah menyebabkan kos pembinaan rumah mampu milik di negeri itu meningkat, jika berjaya menawan semula Selangor pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam sidang media hari ini berkata langkah penetapan syarat tambahan oleh kerajaan negeri Selangor itu telah menyebabkan kos pembinaan projek perumahan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) lebih tinggi berbanding di negeri lain.
"Kita tak bercadang menambah syarat-syarat yang akan membawa kepada kos lebih tinggi dan insya-Allah, kalau kita diberi kepercayaan untuk memimpin di Selangor (selepas PRU14) ini, kita akan kaji semula syarat-syarat tambahan yang dikenakan kerajaan negeri.
"Bukan sahaja untuk PR1MA tetapi juga untuk pemaju-pemaju rumah yang semuanya telah pun menyuarakan rasa tak puas hati mereka terhadap syarat-syarat tambahan yang dikenakan oleh kerajaan Selangor yang bagi mereka menambahkan kos pembinaan yang akhirnya rakyat terpaksa menanggung bebannya," katanya, tanpa menjelaskan apakah syarat-syarat tambahan tersebut.
Beliau sebelum itu melawat pameran Ekspo Jualan Perumahan - Ke Arah Sejuta Impian’ Edisi Nasional yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibunegara.
Najib berkata Pulau Pinang yang juga ditadbir pembangkang turut mengenakan syarat pelik iaitu mereka yang ingin membeli rumah di negeri itu, perlu mendaftar sebagai pengundi di Pulau Pinang.
Beliau berkata walaupun terdapat kekangan, kerajaan Persekutuan menerusi PR1MA tetap membina rumah dengan harga lebih rendah daripada pasaran bagi memastikan penduduk negeri itu yang berpendapatan sederhana mampu memiliki rumah.
Beliau berkata pelbagai projek perumahan di Pulau Pinang kini dalam peringkat pelaksanaan termasuk di Permatang Pauh sebanyak 1,017 unit, Batu Ferringhi (1,248 unit) dan Bukit Gelugor (2,387 unit).
"Di tanah besar rumah dijual pada harga RM250,000 ke bawah manakala di pulau, ia dijual pada harga RM300,000 ke bawah," katanya.
Selain itu, Najib berkata PR1MA berada pada landasan yang betul untuk memenuhi komitmennya membina 500,000 perumahan untuk rakyat.
"Antara projek yang paling laris dari segi permintaannya adalah projek di Bukit Bintang, yang 42 peratus daripada 542 unit telah ditempah dalam masa hanya tiga hari sahaja. Jadi maknanya, kalau kita sediakan rumah di tempat yang ada permintaan dengan kos yang sesuai, tak ada masalah untuk rumah dimiliki oleh rakyat," katanya.
Pameran perumahan selama sembilan hari anjuran PR1MA itu disertai pelbagai agensi termasuk Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Syarikat Perumahan Negara Berhad.
- Bernama