Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengenai 1Malaysia Development Bhd (1MDB) telah membersihkan namanya dalam skandal itu.
Najib berkata laporan tersebut langsung tidak membangkitkan namanya sebagai orang yang mencuri 1MDB atau mana-mana kesalahan berkaitan dan menggalakkan orang ramai membacanya sendiri.
"Ada beberapa soalan pokok. Pertama, adakah dalam laporan itu mana-mana ayat mengatakan saya telah mencuri duit 1MDB? Tidak sama sekali.
"Kedua, adakah laporan itu mengatakan saya membuat kesalahan? Jawapannya tidak.
Dan ketiga, dalam laporan itu, adakah (dinyatakan) duit derma daripada kerajaan Arab Saudi adalah duit 1MDB? Tidak sama sekali," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab bersama Datuk Idris Jala sebelum pelancaran Laporan Pelan Transformasi Negara (NTP) 2017 malam ini.
Najib berkata beliau sendiri mengarahkan PAC - yang turut dianggotai anggota parlimen pembangkang - untuk menyiasat 1MDB pada 2015.
Laporan PAC membangkitkan beberapa masalah pengurusan dan mencadangkan siasatan lebih lanjut oleh polis. Sehingga hari ini, belum ada pendakwaan berkaitan kes itu di Malaysia.
Pelabur masih yakin
Laporan Ketua Audit Negara berhubung 1MDB juga diklasifikasikan sebagai rahsia walaupun Najib pernah berjanji untuk menjadikannya dokumen awam.
Namun banyak perkembangan berlaku sejak laporan PAC itu, antaranya tindakan undang-undang terhadap beberapa bank dan individu yang mempunyai kaitan dengan 1MDB di Singapura dan Switzerland.
Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) juga merampas aset yang didakwa diperolehi daripada wang berkaitan 1MDB yang dicuci, seperti kapal layar mewah Equanimity yang bernilai AS$250 juta.
Menjawab soalan Idris sama ada keyakinan pelabur menurun ekoran skandal 1MDB, Najib menyangkalnya dan menyebut projek Tun Razak Exchange (TRX) sebagai buktinya.
Bermula sebagai sebuah projek bawah 1MDB, TRX telah diambil alih oleh Kementerian Kewangan selepas syarikat itu berdepan masalah pembayaran hutang yang teruk.
1MDB yang ditubuhkan sebagai syarikat pelaburan strategik kerajaan berdepan masalah itu pada 2015. Ia kini menanggung hutang berjumlah RM31 bilion.