Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
"Jangan sebut... nanti dia betul-betul datang'
Diterbitkan:  Mar 23, 2018 8:30 AM
Dikemaskini: 1:49 AM

Bekas editor Kumpulan New Straits Times, Mustapha Kamil Mohd Janor menyindir majlis Wacana Sinar Harian yang berjudul 'Apakah Tun M, terlalu tua untuk jadi PM?' yang berlangsung semalam.

Mustapha Kamil berkias kisah petua masyarakat Melayu tradisional ketika masuk ke hutan.

"Dalam hutan ni ada banyak petuanya. Selalu orang tua kata bila kita dalam hutan ni jangan disebut-sebut perkara atau apa pun yang kita tak mahu temui.

"Jangan sebut pasal hantu, pasal jembalang atau pasal harimau ke. Nanti dia betul-betul datang," tulis beliau dalam hantaran Facebook malam tadi.

Mustapha berkata teringat mengenai petua itu selepas membaca berita wacana anjuran Kumpulan Krangkraf tersebut.

"Bahasa mudahnya wacana itu untuk mengumpat Dr Mahathir lah. Tapi macam melanggar petua dalam hutan tadi, muncul pulak 'orang tua' tu dan dia duduk betul-betul depan barisan ahli panel yang awalnya bukan main tajam hujah mereka mengumpat Dr Mahathir itu.

"Tapi bila dia muncul tiba-tiba, terus tumpul dan duduk pun dah serba tak kena. Itu lah. Macam pepatah Ujang kawan saya kat kampung ni: 'If your egg is small, don't talk big'," tulis beliau lagi.

Semalam, Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) ditemani isterisnya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali membuat kejutan apabila hadir ke majlis di Shah Alam itu.

Kehadiran pasangan itu disambut dengan meriah oleh penyokong dan hadirin.

Siri wacana itu disertai Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (Mapan) Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff, pakar psikologi, Prof Datuk Dr Mat Saat Mohd Baki dan Cikgu Fitness Malaysia, Kevin Zahri Abdul Ghaffar.

Mantan perdana menteri itu kemudian menulis di Twitter mengenai kehadirannya.

“Saya hadir. I’m here guys. Say it to my face. (Saya ada di sini. Cakap depan-depan.), ” ciap beliau.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS