Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Mahathir kejutkan forum, minta cakap 'depan-depan'
Diterbitkan:  Mar 22, 2018 5:01 PM
Dikemaskini: Mar 23, 2018 3:35 AM

Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini membuat kejutan apabila menghadiri Wacana Sinar Harian di Shah Alam, hari ini.

Bekas perdana menteri itu hadir bagi mengikuti program tersebut yang bertajuk "Apakah Tun M, terlalu tua untuk jadi PM?"

Beliau yang berbaju kelabu ditemani isteri beliau, Tun Dr Siti Hasmah Mohamed Ali dan disambut dengan meriah oleh penyokong dan hadirin.

Siri wacana itu disertai Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (Mapan) Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff, pakar psikologi, Prof Datuk Dr Mat Saat Mohd Baki dan Cikgu Fitness Malaysia, Kevin Zahri Abdul Ghaffar.

Bekas perdana menteri itu, kemudian menulis di Twitter mengenai kehadirannya.

“Ada forum bertajuk, “Adakah Tun M terlalu Tua untuk jadi PM?” Saya hadir. I’m here guys. Say it to my face. (Saya ada di sini. Cakap depan-depan.)” ciapnya.

Perdana Menteri selama 22 tahun itu kemudiannya dijemput menyertai perbincangan berkenaan.

“Bila saya letak jawatan... saya ingat saya boleh naik cruise (kapal layar),” katanya sambil disambut gelak ketawa oleh hadirin.

Dr Mahathir juga berkongsi rahsianya kekal sihat pada usia mencecah 93 tahun.

“Ramai tanya saya macam mana nak jaga badan, bagi saya jangan terlebih makan. Bila sedap makan berhenti kata mak saya.

“Saya aktif bukan tubuh badan sahaja malah akal fikiran.

“Dari dahulu saya aktif iaitu memikir dan menyelesaikan masalah. Dari segi menjaga kesihatan saya sedar kalau kita terlalu gemuk ia tidak bagus,” katanya.

Sambil mengakui dirinya didesak untuk menjadi calon perdana menteri Pakatan Harapan, Dr Mahathir mengakui tidak senang dengan perkembangan politik hari ini.

“Bila saya lancar Deklarasi Rakyat, pembangkang sertai saya. Saya banyak kali nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak namun tak jalan.

“Bukan senang nak dalam kumpulan pembangkang kerana dahulu saya pernah kutuk mereka dan mereka pernah kutuk saya,” katanya.

Beliau juga mengakui bahawa golongan muda hari ini lebih berani bercakap berbanding dahulu.

“Ramai yang kawan saya dahulu, takut nak dekati saya sekarang ini rentetan pilihan politik saya,” katanya.

Mahathir juga kemudian mendominasi forum itu apabila moderator dan ahli panel sendiri turut bertanya soalan kepada Mahathir.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS