Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K'jaan: Maklumat tak disahkan berkaitan 1MDB adalah berita palsu

PARLIMEN l Maklumat berkaitan dengan 1MDB yang tidak disahkan akan dianggap sebagai berita palsu, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Jailani Johari.

“Secara amnya definisi berita palsu adalah berita yang disahkan tidak benar oleh pihak berkuasa serta pihak yang mempunyai skop bidang tugas atau kepakaran khusus dalam isu tersebut.

“Berkenaan 1MDB, kes ini telah disiasat polis dan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara. Laporan siasatan telah dibentangkan kepada PAC yang dianggotai oleh wakil kerajaan serta pembangkang.

“Prosiding PAC dilakukan secara telus... laporan PAC juga telah dikeluarkan,” katanya dalam ucapan penggulungan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Jailani menjawab soalan-soalan yang dibangkitkan oleh Tan Kee Kwong (PKR-Wangsa Maju) dan Datuk Johari Abdul (PKR-Sungai Petani) semasa perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong.

Mengulas lanjut, timbalan menteri itu berkata, segala cadangan PAC juga diterima penuh dan dilaksanakan oleh kerajaan sepenuhnya.

Ini termasuk proses rasionalisasi yang sedang berlangsung.

“Sehubungan itu kerajaan berpandangan selain dari maklumat yang telah disahkan, seperti disebutkan tadi, apa-apa maklumat jua selain daripadanya akan diiktiraf sebagai berita palsu,” katanya.

Justeru, beliau mahu isu berkenaan tidak dijadikan polemik khususnya oleh pihak pembangkang yang sentiasa membangkitkan perkara tersebut.

Dalam pada itu, Jailani berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengenakan sekatan terhadap 40 laman portal dan blog yang menyebarkan kandungan berita palsu.

Beliau juga berkata sejumlah 154 kes melibatkan jenayah siber dan penyalahgunaan media sosial telah disiasat manakala 16 kes telah didakwa di mahkamah.

Katanya, SKMM juga telah mengambil tindakan terhadap 4,358 akaun palsu dan 80 peratus daripadanya telah dipadam oleh penyedia platform media sosial.

Dalam perkembangan lain, Jailani berkata Radio Televisyen Malaysia (RTM) bersedia mengadakan program seperti Debat Perdana melibatkan anggota Parlimen kedua-dua pihak, jika terdapat keperluan dan kesesuaian siaran.

Malah, katanya, parti-parti politik juga akan diberi peluang untuk membentangkan manifesto dengan mematuhi garis panduan siaran RTM.

"Tidak timbul masalah mengatakan kita tidak pernah bagi ruang kepada pihak sebelah sana.. Bukan RTM saja, tapi Astro juga pernah mengadakan temu bual bersama pembangkang sebelum ini," katanya.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS