Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
11 masih hilang, kapal korek pasir terbalik di Muar

Sebelas kru kapal korek pasir dipercayai masih hilang apabila kapal mereka terbalik di kedudukan 8.5 batu nautika dari perairan Parit Jawa, dekat Muar, pagi tadi.

Pengarah Maritim Pangkalan Batu Pahat Leftenan Komander Maritim Muhammad Zulkarnain Abdullah berkata sejumlah 18 kru kapal dipercayai terlibat dalam kejadian pagi tadi dengan enam mangsa dijumpai selamat manakala seorang lagi ditemukan lemas.

Kesemua mangsa adalah lelaki, terdiri daripada seorang warga tempatan dan seorang warga Indonesia manakala 16 lagi warga China, kata beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Muhammad Zulkarnain, pihaknya menerima satu panggilan pada jam 8.50 pagi yang memaklumkan sebuah kapal korek pasir yang dipercayai dari China dengan nama "JBB RONG CHANG 8" telah terbalik di perairan itu.

“Dua buah bot ronda milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia telah diarahkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan tersebut. Sehingga sekarang usaha mencari dan menyelamat mangsa masih giat dijalankan,” kata beliau.

Zulkarnain juga meminta agar masyarakat sentiasa berhati-hati ketika menjalankan segala aktiviti di laut.

Sekiranya terdapat sebarang kecemasan boleh terus menghubungi Pusat Operasi Maritim Pangkalan Batu Pahat di talian 07-4344020 atau talian kecemasan 999.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS