Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Ketua Pemuda Umno Titiwangsa: Bukan saya sabotaj Datuk Jo
Diterbitkan:  Mar 21, 2018 11:38 AM
Dikemaskini: 3:42 AM

Ketua Pemuda Umno Titiwangsa, Datuk Nazir Hussin Aktar Hussin menafikan dakwaan beliau sebagai dalang dalam Umno yang cuba mensabotaj Datuk Seri Johari Abdul Ghani selaku ahli parlimen kawasan itu.

Portal Berita Harian Online memetiknya sebagai berkata, beliau tidak tahu bagaimana namanya terpalit dengan dakwaan itu sehingga tersebar di media sosial sedangkan hubungannya dengan Johari tidak ada masalah.

"Saya tiada apa nak sorok. Saya pun tiada kaitan dengan sekumpulan orang yang gantung kain rentang, luah perasaan nak tolak serta tak puas hati dekat Datuk Jo.

"Banyak kenyataan daripada beberapa pihak tuduh saya dalang, orang dalam Umno cuba nak tanding jawatan itu, macam-macam.

"Jadi, sayalah yang kena tempias. Sedangkan, selama saya jadi ketua pemuda, kita banyak bantu memperjuangkan masalah rakyat, antaranya anjur tuisyen untuk anak Melayu dan bantu dapatkan rumah tanpa mengharap sebarang penghargaan," katanya yang dipetik portal itu.

Beliau mengulas susulan tindakan menggantung kain rentang yang tertera 'Saya No!! To DJ' dan 'kami ahli Umno akar umbi Titiwangsa memohon kepada YAB Perdana Menteri agar memilih calon lain selain daripada Datuk Johari', #TolakJohariGhani #JoeSombong #JoeAngkuh #asalbukanjoeghani @JoeBongkak #ABJ.

Kain rentang itu dijumpai tergantung di sekitar kawasan Chow Kit dan Keramat di Kuala Lumpur.

Nazir Hussin (foto, bawah, kanan) juga dipetik menafikan beliau mempunyai kaitan atau mengenali individu yang terbabit mensabotaj Johari.

Sebaliknya, beliau mendakwa, individu terbabit adalah ahli sebuah kumpulan yang berpusat di Chow Kit.

"Saya terdengar juga kumpulan ini tidak puas hati dengan Datuk Jo. Tetapi, saya tak pasti kenapa. Saya pun tak kenal siapa mereka ini," katanya.

Menurutnya, jika berlaku masalah dalam parti sekali pun, sesiapa sahaja calon, ahli parlimen atau ketua bahagian, individu itu mesti disokong demi Barisan Nasional (BN) dan bukannya bertindak mensabotaj.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS