GLOBAL l Sudan, 45, satu-satunya badak sumbu putih utara jantan yang masih wujud di dunia, mati pada Isnin di Pusat Konservasi Ol Pajeta di utara Laikipia County, Kenya, lapor agensi berita China Xinhua.
Pengurus Komunikasi pusat itu, Elodie Sampere, berkata gergasi mamalia darat itu telah berdepan masalah kesihatan yang serius berkaitan usia sehingga membawa kepada perubahan degeneratif pada otot dan tulang selain mengalami luka besar di kulitnya.
"Keadaannya semakin teruk secara signifikan dalam tempoh 24 jam lepas. Dia tidak lagi mampu berdiri dan berada dalam keadaan tenat. Pasukan veterinar dari Zoo Dvur Kralove, Ol Pejeta dan Perkhidmatan Hidupan Liar Kenya telah membuat keputusan untuk melakukan euthanasia (pematian kasihan) terhadapnya," menurut kenyataan pusat konservasi itu.
Sudan merupakan antara tiga ekor badak sumbu putih utara, dan kematiannya menyaksikan hanya dua ekor badak betina dari spesies sama, iaitu Najin dan Fatu, yang masih hidup.
Menurut pusat konservasi itu, satu-satunya harapan bagi mengelak spesies itu pupus kini terletak kepada pembangunan teknik pembiakan vitro (IVF), iaitu menerusi penggunaan telur kedua-dua badak betina yang masih hidup, air mani badan sumbu putih utara jantan yang telah disimpan dan menggunakan badak sumbu putih selatan betina sebagai induk tumpang.
-Bernama