Kehadiran wartawan yang berkumpul di rumahnya di Kuala Lumpur menjadikan seorang nenek pening kepala dan tekanan darahnya mula naik.
Ini kerana alamatnya digunakan oleh sebuah firma penganalisis data Cambridge Analytica sebagai alamat pejabat cawangannya di Malaysia.
Wanita yang enggan dikenali itu berkata beliau sudah mendiami kawasan itu sejak tiga tahun lalu dan ini adalah kali pertama beliau mendengar nama firma tersebut.
“Ini kawasan perumahan, tak ada rumah yang dijadikan pejabat. Saya duduk sini tiga tahun tak nampak ada pejabat, cuma nampak orang balik kerja pergi kerja. Ini kawasan kediaman, tempat orang tinggal,” katanya kepada Malaysiakini.
Wanita itu turut mengakui rasa kurang senang dengan kehadiran wartawan yang mula berkunjung ke rumahnya bagi mengesahkan berkenaan firma tersebut.
“Saya ada tekanan darah tinggi, saya tak nak bimbang benda-benda ini. Pasal hari tu pun mereka (wartawan) datang saya risau juga. Bila saya risau, saya sakit kepala nanti jadi menyusahkan anak-anak,” katanya.
Mengikut tinjauan Malaysiakini, kawasan tersebut adalah kawasan perumahan teres dua tingkat yang lengkap dengan pengawal keselamatan.
Firma Camridge Analytica yang didakwa berperanan penting dalam kemenangan presiden AS Donald Trump mengakui menjalankan operasi di Malaysia.
Video intipan oleh Channel 4 di UK merakamkan ketua pegawai data Cambridge Analytica, Alex Tayler sebagai berkata, firma itu menggunakan data yang dikumpulkan untuk memprofil orang ramai supaya mesej sasaran berhubung pilihan raya di Amerika Syarikat dan Afrika.
Pengarah Urusan Politik Global Cambridge Analytica, Mark Turnbull kemudian menambah: "Kami telah melakukannya di Mexico, kami telah melakukannya di Malaysia, dan kini kami bergerak ke Brazil.
Channel 4juga mengaitkan firma itu dengan kempen berita palsu 2017 yang dijalankan di Kenya ketika menentang seteru Presiden Uhuru Kenyatta yang berkuasa sekarang.
Ketua Eksekutif Cambridge Analytica, Alexander Nix juga dirakamkan mengakui bahawa syarikatnya terbabit dengan strategi ‘pasang perangkap’ seperti secara rahsia merakamkan kakitangan memberi rasuah kepada ahli politik, atau menghantar gadis ke rumah mereka.
Cambridge Analytica melalui kenyataan medianya hari ini menafikan kegiatan pasang perangkap yang tidak beretika semasa pilihan raya.
Firma itu berkata laporan tersebut "diedit dan ditulis untuk memberi gambaran salah perbualan tersebut dan bagaimana syarikat itu menjalankan perniagaannya."