Paling Popular
Terkini

WAWANCARA | Kian lantang mengkritik kerajaan berkaitan skandal 1MDB, Tan Sri Dr Rais Yatim menegaskan beliau tetap akan berkempen untuk Umno dan BN pada pilihan raya umum (PRU) ke-14.

"Saya ini orang Umno, masih belum dibuang. Mungkin dibuang, tapi tak tahulah," katanya sambil ketawa kecil.

Bekas anggota Majlis Tertinggi Umno itu mutakhir ini menarik perhatian ramai selepas menyertai seorang lagi tokoh veteran parti itu Tan Sri Rafidah Aziz mengkritik isu yang sekian lama dibawa pembangkang.

Beliau nampaknya tegas dalam isu itu selepas membalas kembali serangan beberapa pemimpin Umno terhadapnya.

Antaranya desakan Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Tun Faisal Ismail Aziz yang menggesanya meletakkan jawatan.

Beliau kemudian membalasnya dengan berkata "tali barut" tidak tidak boleh membuat keputusan bagi pihak dirinya, dan menyerahkan soal itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Rais antara lain membidas tindakan kerajaan yang menurutnya membela Low Taek Jho - atau lebih dikenali sebagai Jho Low, individu utama dalam dakwaan penyelewengan dana 1MDB.

Penasihat sosiobudaya kepada kerajaan itu nampaknya tegas dalam isu berkenaan selepas membalas kembali serangan beberapa pemimpin Umno terhadapnya.

Bercakap kepada Malaysiakini semalam, Rais sekali lagi berkata kritikannya itu sebenarnya berbentuk nasihat sesuai dengan kedudukan semasanya dalam kerajaan,

"Saya menasihati perdana menteri (Datuk Seri Najib Razak) dan kementerian, sebahagian pandangan (secara) umum, ada yang tidak.

"Tetapi saya harus berkempen untuk BN (dalam PRU ke-14), tentu sekali," katanya.

Pada PRU nanti, Rais berkata beliau akan membantu Umno Negeri Sembilan terutama di kampung halamannya, Jelebu - kerusi parlimen yang pernah dipegang antara 1999 hingga 2013.

"Tetapi saya tidak akan melanggar etiket (adat dan kesopanan) dan tetap akan bangkitkan perkara yang dirasakan salah," katanya lagi.

Potensi besar BERSATU

Rais nampaknya tidak hairan jika soal beliau keluar Umno dan menyertai pembangkang - terutama BERSATU - muncul selepas kritikannya muncul baru-baru ini.

Apatah lagi beliau pernah keluar Umno dan menubuhkan Semangat 46 pada 1988 untuk menentang Umno pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.


Baca 'Bila pelepah gugur pucuk jangan ketawa'


Hampir 30 tahun kemudian, giliran Dr Mahathir keluar Umno dan menubuhkan parti baru. Bayangkan jika beliau keluar Umno dan menyertai Mahathir.

Tiada apa yang pasti tetapi Rais berkata berbanding parti politik yang disertai, perkara lebih penting adalah prinsip yang dipegang.

"Ada ahli politik hari ini sertai DAP, esok masuk parti lain pula. Loncatan antara parti ini biasa dilakukan.

"Apa yang kita mahu lihat adalah kekitaan semua (pihak) demi Malaysia, bukan demi satu kelompok kecil sahaja," katanya.

Mengulas lanjut tentang PRU akan datang terutama kemaraan BERSATU, beliau mengakui potensi besar parti itu untuk menyaingi Umno ekoran pengaruh dua tokoh utamanya - Dr Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Pasti ramai yang tertanya-tanya melihat Dr Mahathir yang 22 tahun menjadi perdana menteri dan Muhyiddin tujuh tahun sebagai timbalan perdana menteri sanggup turun padang untuk membawa pembaharuan.

"Pastinya ada sebab yang lebih besar dan tinggi (walau) ada yang menohmah (Dr Mahathir) mahu menaikkan anaknya (Datuk Seri Mukhriz).

"Jika itu alasannya, kita mesi kemukakan bukti. Lihat juga bagaimana anaknya dilayan, ditumbangkan. Tiada ribut taufan dan hilang (begitu saja)," katanya merujuk kejatuhan Mukhriz sebagai menteri besar Kedah pada 2016.

Dua hari sebelum mengundi

Tetapi beliau berkata belum tentu sokongan yang ditunjukkan terhadap BERSATU akan diterjemahkan melalui peti undi.

"Jika diberi pilihan antara antah dan beras, BN mempunyai kelebihan kerana rakyat sudah merasai jasa dan budinya."

Rais yang menyertai politik sejak akhir 1970-an berkata tempoh paling genting dalam setiap pilihan raya umum adalah dua hari terakhir sebelum hari mengundi.

"Macam-macam akan berlaku dalam masa dua hari ini. Apakah ufti dan 'sampul' (yang diagih kepada pengundi), apa yang diberi semasa dalam kereta.

"Ini akan mengubah situasi," katanya.

Pesanannya kepada BERSATU dan Pakatan Harapan - berhati-hati dengan apa yang berlaku sepanjang tempoh itu. Kepada Umno dan BN pula, beliau berharap jangan terlalu berlebih-lebihan mengamalkannya.

"Penting untuk kita beralih ke tahap demokrasi yang baru. Jika dua hari terakhir ini masih sama seperti dahulu, sukar untuk saya tentukan tahap (demokrasi negara)," katanya lagi.

Siri 1: 'Sebagai penasihat, takkan saya diam saja'

Siri 2: Usah buru-buru bentang akta berita palsu


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS