Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh 48 pengundi Segamat dari DAP dan AMANAH berhubung kemasukan 949 nama anggota tentera dan pasangan mereka dalam rang daftar pemilih tambahan di kawasan itu oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Hakim Datuk Kamaludin Md Said menolak permohonan itu selepas memutuskan bahawa kemasukan yang telah diwartakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu tidak boleh dicabar di mahkamah.
Peguam Michelle Ng yang mewakili 48 pengundi selaku pemohon, ketika ditemui pemberita, berkata mahkamah menolak permohonan mereka selepas bersetuju dengan hujahan Pejabat Peguam Negara bahawa Seksyen 9(A) Akta Pilihan Raya 1958 adalah terpakai.
Beliau berkata, seksyen itu menyatakan bahawa nama pengundi yang sudah diwartakan dalam daftar pemilih tidak boleh dicabar di mahkamah.
Katanya, mahkamah tidak mengeluarkan sebarang perintah berhubung kos.
Ng berkata beliau akan mendapatkan arahan daripada anak guam sama ada untuk mengemukakan rayuan.
Peguam Kanan Persekutuan, Muzila Mohamed Arsad mewakili SPR dan dua lagi yang dinamakan selaku responden.
Pada 26 Februari lalu, pengundi terbabit memfailkan permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman dengan menamakan SPR, Pendaftar Pemilih Negeri Johor, Shafie Taib, dan Pegawai Pengadil Segamat, Miswan Yunus sebagai responden pertama hingga ketiga.
Mereka memohon perintah certiorari untuk membatalkan kemasukan dan pengekalan 949 nama berkenaan ke dalam rang daftar pemilih tambahan di kawasan itu
Dalam permohonan itu, pemohon menyatakan bahawa kemasukan dan pengekalan 949 nama terbabit adalah tidak berperlembagaan kerana tidak mematuhi Artikel 119 Perlembagaan Persekutuan.
Selain itu, pemohon berkata siasatan awam yang dijalankan berhubung isu kemasukan nama itu jelas melanggar keadilan asasi dan tidak mengikut prosedur Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002.