Pertemuan di antara Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong dan bekas Presiden MCA Tan Sri Dr Chua Soi Lek pada minggu lalu di sebuah restoran di Kluang, Johor pada 9 Mac lalu menimbulkan pelbagai spekulasi.
Ini lebih-lebih lagi semalam, Liew telah dinamakan sebagai calon Pakatan Harapan untuk berdepan dengan Timbalan Presiden MCA, Datuk Wee Ka Siong di kerusi Parlimen Ayer Hitam.
Laporan Oriental Daily hari ini memaparkan gambar Liew “duduk semeja” dengan Dr Chua - yang bersama kumpulan yang tidak sehaluan dengan Wee, semasa pergelutan merebut pucuk pimpinan MCA, sebelum ini.
"Mereka adalah dua ahli politik yang berpengaruh tetapi bersama parti-parti yang bertentangan. Apa rahsia yang sedang mereka bincangkan?” petik laporan itu bersama gambar kedua-dua mereka.
Ketika dihubungi, Chua berkata, bahawa pertemuan itu adalah secara kebetulan. Liew ketika ini adalah ahli Parlimen Kluang.
"Apa salah bugi dua sahabat berjumpa dan saling menyapa?" soalnya.
Perseteruan Chua dan Wee bermula apabila beliau adalah sebahagian daripada anggota MCA yang menyokong bekas presiden, Tan Sri Ong Tee Keat pada 2008 hingga 2009.
Kedua-dua Chua dan Wee adalah pemimpin MCA yang berpengaruh di Johor. Liew ketika dihubungi Malaysiakini juga mengesahkan pertemuan mereka adalah secara kebetulan dan tidak dirancang.