WAWANCARA l Tiada yang pelik dengan tindakan membangkitkan isu 1MDB dan rampasan kapal layar mewah Equanimity baru-baru ini, kata Penasihat Sosiobudaya kepada kerajaan Tan Sri Dr Rais Yatim.
Dalam wawancara bersama Malaysiakini, beliau menjelaskan tindakannya itu - yang mendapat kecaman daripada sejumlah pemimpin Umno - tidak lebih sekadar menjalankan tugasnya sebagai penasihat.
"Saya dilantik (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Razak sebagai penasihat. Sebagai penasihat saya buat apa, nak diam saja?
"Jadi saya beri (nasihat) kepadanya, dan sudah berhubung dengan pihak-pihak tertentu (mengenai hal yang dibangkitkan).
"Tetapi orang kata Rais Yatim sudah meroyan. Belum tahu lagi siapa yang meroyan dalam hal ini," katanya lagi.
Rais yang sebelum ini banyak mengutarakan soal budaya dan bahasa - dua bidang yang amat dekat dengan dirinya - mengundang perhatian selepas menegur Menteri Multimedia dan Komunikasi Datuk Seri Salleh Said Keruak yang menurutnya terlalu cepat menafikan kaitan Equanimity dengan individu utama dalam skandal 1MDB, Jho Low.
Susulan itu, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Abdul Aziz menyifatkannya sebagai berdendam dengan kerajaan manakala Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Tun Faisal Ismail Aziz menggesanya meletakkan jawatan.
Menganggap skandal 1MDB sebagai "polemik nasional" yang telah memalukan negara, Rais berkata beliau sedia mempertahankan kritikannya.
"Maka pihak lain pun haruslah juga (berhujah secara rasional). Jangan prejudis dan kata saya kini sudah terasing," katanya yang juga presiden Universiti islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Undang-undang tak dilaksana
Beliau mengingatkan pihak yang tidak berpuas hati dengan kritikannya bahawa beliau memiliki ijazah doktor kehormat dalam undang-undang.
Justeru, tambahnya, beliau mempunyai kebimbangan yang wajar terhadap pengabaian prinsip undang-undang dalam isu berkaitan 1MDB dan Jho Low.
"Kajian saya dalam undang-undang, dan saya tidak lihat pelaksanaan undang-undang (dalam soal ini).
"Sejumlah negara mencari Jho Low tentang 1MDB...(Di Malaysia) tiada siasatan terhadap beliau. (Sedangkan) Kita ada rangkaian antarabangsa.
"Ini menimbulkan persoalan pada diri saya yang agak biasa tentang soal pentadbiran undang-undang," katanya ketika ditemui di pejabatnya di UIA di Gombak.
Beliau membangkitkan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang.
"Tetapi ia tidak berlaku (dalam kes ini). Itu sahaja persoalan saya," katanya dalam wawancara yang berlangsung kira-kira sejam itu.
JASA sudah menyimpang
Di sebalik kecaman yang diterimanya, beliau menegaskan tujuan utamanya adalah memulihkan imej negara yang "tercela" di peringkat antarabangsa.
"Sekarang dua menteri sudah 'lanyak' saya. (Mereka) adinda-adinda saya dulu," katanya sambil ketawa.
Mengulas kritikan Tun Faisal terhadapnya, Rais menyatakan kekecewaannya melihat JASA yang menurutnya sudah menyimpang daripada tujuan asal.
Katanya, jabatan yang turut diasaskannya itu ditubuhkan bagi memberi penerangan berhubung dasar kerajaan dan isu politik kepada rakyat, bukan untuk menyerang individu sepertinya yang mengkritik demi kebaikan negara.
"Peranan propaganda memang sudah terpahat di dahi setiap pegawai JASA, tetapi itu tidak mengapa.
"Kewujudan JASA tidak salah, tetapi peranannya harus dikemaskini," katanya yang pernah dua kali menjadi menteri penerangan.
Beliau berkata budaya tidak boleh ditegur seumpama ini wajar dipecahkan dalam kerajaan dan Umno.
Kembalikan budaya tinggi
"Kebanyakan isu (pandangannya) sehala dan jika ada pihak dalam parti yang mahu menegur, beliau dianggap orang asing, tak berhemah dan tak perlu diberi (ruang) perdana dalam parti.
"Parti kita mempunyai catatan bahasa dan budaya tinggi tetapi kita tidak 'mengabangkan' (mengangkatnya) agar boleh diikuti generasi muda," katanya lagi.
Skandal 1MDB dan kes yang berkaitan dengannya kini disiasat di beberapa negara dan pernah disifatkan sebagai kes kleptokrasi terburuk yang pernah disaksikan.
Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) mendakwa sekurang-kurangnya US$4.5 bilion dana syarikat milik Kementerian kewangan itu telah diselewengkan dan dicuci melalui sistem kewangan negara itu.
Justeru jabatan itu kini berusaha untuk merampas aset bernilai US$1.7 bilion yang didakwanya diperolehi daripada wang itu.
1MDB menafikan sebarang penyelewengan terhadap dana miliknya.