Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Asalnya saya tidak mahu lagi mengulas isu doa anggota Jawatankuasa PAS Selangor yang juga Ahli Majlis MBSA itu.

Tetapi saya menukar pendirian selepas membaca kenyataan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang mendakwa ia sekadar doa dan apa yang sedang dikecohkan hanya putar belit media.

Hakikatnya kesan maksud doa itu punyai banyak implikasi. Menganggap Selangor ditadbir tanpa cara agama bukan saja menampakkan PAS meludah kembali rakan mereka yang berjawatan exco agama di negeri itu malah ia menimbulkan pertanyaan sama ada Ahmad Dusuki Abd Rani bermaksud merujuk doa itu kepada istana yang berfungsi sebagai pentadbir utama Islam di Selangor?

Seperkara yang perlu difahami, kritikan terhadap doa itu bukan dengan maksud merendah atau menghina doa qunut seperti yang dikenali dalam riwayat yang pelbagai.

Sebenarnya doa yang dibaca Ahmad Dusuki itu tidak hanya mengandungi doa qunut nazilah tetapi lebih panjang daripada itu.

Siapakah pakatan itu

Cubaan mengubah perhatian orang ramai dan pengundi dari isu utama oleh tentera siber PAS telah memesongkan isu sebenar.

Di bawah ini adalah antara potongan transkrip doa yang dibaca oleh Ahmad Dusuki pada malam tersebut yang menyentuh perkataan ahzab atau pakatan:

“Tidakkah Kamu menyebut doa mereka yang dizalimi itu tidak akan ditolak oleh-Mu. Kami pohon kepada-Mu segala pakatan yang mereka rancang itu dihancurkan (dan) lebur mereka Ya Allah.

"Ya Allah jadikanlah pakatan yang jahat itu, pakatan yang tidak mempunyai kekuatan Ya Allah, sebagaimana Kamu telah meleburkan tentera-tentera ahzab itu Ya Allah.

"Demikianlah kami akan hadapi nanti Ya Allah. Demikian juga kami akan berhadapan dengan Barisan Nasional dalam pilihan raya yang akan datang.

"Kami pohon kepada-Mu ya Allah agar dibuka hati setiap pengundi-pengundi di kalangan kami ini agar melihat bagaimana kezaliman yang dilakukan BN sebelum ini terhadap rakyat bumi Selangor dan bumi Malaysia ini.

"Kami pohon pada-Mu Ya Allah agar dibuka hati sesama kami ini agar dirapatkan ikatan ukhuwah kami ini.”

Beberapa perkara timbul melalui potongan ini:

  • Ia bukan sama sekali teks doa qunut nazilah sahaja.
  • Potongan doa ini menyebut "Barisan Nasional" secara jelas dan diulang dua kali. Namun dimulai doa tersebut dengan doa keatas "pakatan" sebanyak tiga kali dengan diselang-selikan dengan perkataan ahzab (pakatan).
  • Dimulakan doa buruk ke atas Barisan Nasional adalah: “Demikian juga...” dan ini memberi isyarat ada pihak musuh pilihan raya mereka yang lebih awal telah disebutkan dalam doa itu. Maka siapakah "pakatan" itu?
  • Umum mengetahui, pertembungan pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan melibatkan tiga kumpulan utama iaitu Pakatan Harapan (HARAPAN), BN dan PAS (Gagasan Sejahtera). Setelah wakil PAS dalam doa ini menyebut dengan terang BN maka baki musuh mereka adalah hanya satu iaitu HARAPAN. Maka, adakah sama sekali ia tiada petanda doa itu merujuk kepada HARAPAN?

Saya kira, pembaca mampu menilai antara transkrip doa ini dan cubaan merubah hakikat doa yang sangat meresahkan pendengar yang bukan bersama PAS atas banyak faktor.

Islam yang ditawarkan perlulah agama yang bersikap ramah-tamah, bersifat rahmah, bukan marah-marah sebegini. Berdoalah. Kerana Allah memuliakan hambanya yang meminta.

PAS berhak berdoa untuk kemenangan Gagasan Sejahtera yang dipimpinnya. Namun malangnya banyak lafaz di dalam doa berkenaan yang cuba membayangkan seolah-olah PRU14 adalah mengenai pertembungan Islam dan kufur di medan perang.

Kepada Allah kita serahkan segala urusan.


ABU HAFIZ SALLEH HUDIN ialah timbalan pengerusi 2 Biro Dasar dan Strategi Parti Pribumi Bersatu Malaysia. Beliau berkelulusan sarjana pengajian Islam di University of London dan pernah menjadi Setiausaha Agung Pertubuhan Kebajikan al-Qayyim Malaysia.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS