Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Doa dibaca PAS tak pelik cuma dimanipulasi'
Diterbitkan:  Mar 19, 2018 12:37 AM
Dikemaskini: Mar 19, 2018 12:20 AM

PAS berpendapat tidak sepatutnya timbul sebarang isu berhubung doa dibacakan salah seorang pemimpinnya semasa program solat hajat, munajat dan ceramah perdana di Shah Alam malam kelmarin.

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebaliknya berkata ia menjadi perhatian apabila doa berkenaan dimanipulasi.

Katanya tiada yang pelik pada doa yang dibacakan anggota Jawatankuasa PAS Selangor, Ahmad Dusuki Abd Rani itu kerana ia dibuat untuk mengharapkan kemenangan parti itu, serta mengalahkan musuhnya.

"Doa itu dimanipulasi. Kalau kita tengok pun (ia cuma) doa.

"Biasalah kita doa untuk kemenangan kita dan mengalahkan musuh kita, sebenarnya tak ada benda yang pelik pun.

"Memanglah kalau kita doa kita akan minta pada Allah supaya Allah beri kemenangan kepada kita dan mengalahkan musuh kita.

"Jadi apa yang pelik? Tiada apa yang pelik sebenarnya dalam doa itu," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran manifesto PAS di Cyberjaya malam tadi.

Lama bumi Selangor dijajah

PAS menganjurkan majlis khas memperingati penyertaan parti itu mentadbir Selangor untuk tahun ke-10 di Seksyen 17 Shah Alam.

Pada masa sama PKR, DAP dan AMANAH meraikan peristiwa itu di tempat berasingan, iaitu Stadium Melawati.

PAS memutuskan kerjasama politik dengan ketiga-tiga parti terbabit namun mengekalkan kedudukan wakil rakyatnya dalam jawatan exco Selangor.

Ahmad Dusuki kemudian membacakan doa yang mengharapkan "pakatan jahat" dikalahkan seperti Allah meleburkan tentera Ahzab pada zaman Rasulullah SAW.

Antara lafaz doa yang disebutkan Ahmad Dusuki ialah:

"Di malam yang baik ini, Ya Allah, kami berkumpul di padang ini mengharapkan kejayaan kepada Parti Islam Semalaysia - PAS - khususnya di bumi Selangor ini dalam pilihan raya yang akan kami lalui.

"Kami memohon, mengadu kepada-Mu Ya Allah betapa lama bumi Selangor ini dijajah dengan suasana yang tidak (dengan) cara agama.

"Kami memohon kepada-Mu Ya Allah agar diberi peluang kepada Parti Islam Semalaysia - PAS- untuk memerintah bumi Selangor ini.

"Berilah peluang untuk melihat keadilan Islam, berilah peluang untuk melihat betapa indah agama-Mu ini di bumi bertuah ini.

"Ya Allah ya Tuhan kami, kami memohon kepada-Mu betapa ada di kalangan ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) kami disekat perbelanjaan, peruntukan untuk mereka.

"Pada-Mu kami pohon untuk membuka hati-hati mereka itu. Ataupun selayaknya Kamulah yang membalas kepada mereka itu Ya Allah."

Akibatnya PAS mendapat kecaman banyak pihak yang berasakan ia bukan sesuatu yang wajar dilakukan, terutama mendoakan kebinasaan ke atas orang yang seagama.


Baca Teks penuh doa PAS Selangor hancurkan 'pakatan jahat'


Tuan Ibrahim berkata doa dibacakan itu tidak sepatutnya menjadi isu jika media melaporkannya secara "telus" dan "betul".

"Yang jadi isu bukan doa. Yang jadi isu (ialah) media yang pusing, kalau media lapor betul, tiada isu pun.

"Sebagai contoh Malaysiakini tiga kali ubah tajuk dalam tu.

"Jadi bagi saya ini bukan isu tetapi media mesti telus, mesti lapor yang betul," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS