ULASAN | Walaupun Pakatan Harapan (HARAPAN) Kelantan belum mengetengahkan siapa bakal calon menteri besar mereka sekiranya berjaya memerintah selepas pilihan raya umum (PRU) ke-14 nanti, cakap-cakap mengenainya tetap dapat didengari di sana sini.
Ketika tarikh PRU ke-14 semakin hampir Malaysiakini cuba meninjau beberapa nama yang disebut-sebut kemungkinan diangkat untuk menjadi ketua kerajaan di Kelantan nanti.
Parti Amanah Negara (AMANAH) mengetuai HARAPAN Kelantan dan parti itu juga mendapat paling banyak kerusi dewan undangan negeri (DUN) sesuai dengan keadaan semasa di negeri berkenaan.
Dengan faktor itu mengikut amalan lazim tokoh AMANAH adalah calon paling berpotensi untuk dikedepankan mengisi jawatan menteri besar.
Jika sebelum ini Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor, Husam Musa dilihat sebagai tokoh paling sesuai menduduki kerusi itu, namun kebarangkalian itu mengendur susulan penarikan pingat oleh Istana Kelantan baru-baru ini.
Namun, desas-desus mengatakan peluang Husam masih ada dan isunya dengan Istana Kelantan boleh dijernihkan demi kebaikan negeri.
Justeru, tekad untuk mengangkat naib presiden AMANAH itu sebagai menteri besar tidak terpadam setakat ini.
Husam dianggap tokoh paling layak ekoran pengalamannya selama berada dalam saf kepimpinan Kelantan pada era Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan memberi kelebihan kepada kerajaan negeri.
Selain itu, AMANAH Kelantan juga dikatakan mahu mengangkat anak kedua Nik Abdul Aziz, iaitu Nik Omar sebagai penerus legasi ayahnya.
Tak senang kerana IKRAM
Bagaimanapun, hasrat itu dilihat sukar menjadi kenyataan susulan Nik Omar tidak mendapat restu daripada bondanya yang khuatir berlaku perpecahan dalam keluarga.
Di sebalik kemungkinan itu, HARAPAN Kelantan dikatakan mempunyai empat calon lain yang boleh diketengahkan melalui AMANAH, Parti Pribumi Bersatau Malaysia (BERSATU) dan PKR.
Menurut sumber, bagi AMANAH Kelantan tokoh yang mungkin menjadi pertimbangan mereka Prof Datuk Dr Abdul Halim Yusof dan Hisham Fauzi.
Dr Abdul Halim ialah naib pengerusi AMANAH Kelantan merangkap pengerusi HARAPAN Kubang Kerian. Walaupun namanya tidak sebesar Husam, dia tetap mempunyai pengaruh tersendiri.
Namun, ada pihak di kalangan AMANAH sendiri kurang senang dengan pertimbangan itu susulan Dr Abdul Halim sebelum ini aktif dengan Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM).
"Sedangkan faktor itu dilihat sebagai kekuatan kepada AMANAH untuk menarik sokongan daripada penyokong IKRAM yang mempunyai pengaruh tersendiri sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam yang tidak cenderung kepada mana-mana parti politik.
"Wujud gelombang aktif yang dikatakan sedang berusaha untuk menonjolkan doktor pakar tulang belakang itu dan beliau mendapat sokongan kuat di kalangan ahli akademik.
"Bagaimanapun, Dr Abdul Halim dilihat seorang yang tidak mempunyai pengalaman khususnya dalam aspek pengurusan pentadbiran," kata sumber yang rapat dengan kepimpinan AMANAH Kelantan.
Nama Hisham yang juga pengerusi Jawatankuasa Undang-undang HARAPAN Kelantan disebut susulan pengalaman beliau dalam politik.
Bekas MP PKR pun masuk
Bekas penasihat undang-undang PAS Kelantan itu kini menjadi penyelaras HARAPAN DUN Bukit Panau. Dia dilihat seorang aktivis undang-undang berwibawa dan berpengalaman luas dalam politik Kelantan.
"Beliau boleh diberi kepercayaan oleh barisan kepimpinan walaupun kita lihat Hisham lebih selesa menjadi orang di sebalik tabir, tidak suka menonjol namun kuat bekerja.
"Tetapi bakat kepimpinannya kita akui. Begitu juga kerja kerasnya dalam menangani pelbagai isu yang menjadi cabaran kepada parti khususnya melibatkan undang-undang, " kata sumber yang enggan namanya disiarkan.
Sementara itu, bagi PKR Kelantan pula mereka memberi gambaran bahawa pengerusinya, Ab Kadir Ab Aziz sebagai calon berwibawa untuk menerajui kerajaan di bawah kerajaan baru negeri Cik Siti Wan kembang itu.
Walaupun PKR akan bertanding dengan jumlah kerusi paling sedikit, apa yang terjadi pada PRU 2008 di Perak tidak mustahil berlaku di Kelantan.
Pada PRU ke-12 itu PAS mendapat kerusi paling kecil namun wakilnya dilantik menjadi menteri besar Perak sebelum kerajaan bertukar melalui peristiwa bersejarah.
Ab Aziz adalah seorang tokoh lama yang boleh dipertimbangkan untuk jawatan itu dan boleh menjadi realiti sekirannya dipersetujui parti kompenan HARAPAN lain.
"Setiap parti kompenan pastinya mempunyai pelan tersendiri untuk mengangkat pemimpin mereka dan PKR dilihat bersedia mengangkat Ab Aziz.
"Bagaimanapun soal mengagihkan jawatan ini perlu diseimbangkan antara parti kompenan supaya semua pihak berpuas hati.
"Ada juga cadangan supaya diwujudkan semula dua jawatan timbalan menteri besar," kata sumber yang rapat dengan PKR Kelantan.
Dua dari BERSATU
Ab Aziz merupakan bekas anggota parlimen Ketereh yang menewaskan Tan Sri Annuar Musa pada PRU 2008 sebelum tewas kepada ketua penerangan Umno itu pada pemilihan berikutnya.
Bagi Parti Primbumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Kelantan pula, dua tokoh tempatan mereka dilihat mempunyai potensi untuk jawatan menteri besar.
Kedua-kedua mereka ialah Pengerusi BERSATU Kelantan, Datuk Kamaruddin Mohd Nor dan timbalannya, Datuk Sazmi Miah.
Bagaimanapun, kemungkinan kedua-dua mereka diangkat sebagai menteri besar Kelantan agak longgar susulan hanya bertanding di kerusi parlimen.
Menurut sumber, Kamaruddin diberi gambaran akan bertanding di parlimen Pasir Puteh, manakala Sazmi menjadi taruhan HARAPAN Kelantan di parlimen Machang.
"Kedua-dua mereka juga berhasrat untuk bertanding di kerusi DUN tetapi mendapat tentangan di kalangan pimpinan bawahan.
"Kamaruddin berhasrat untuk bertanding di DUN Gaal dan Sazmi memilih untuk turut bertanding di DUN Pulau Condong, tetapi ramai yang tidak setuju.
"Tetapi BERSATU mungkin mengambil pendekatan menghormati AMANAH untuk menerajui kepimpinan utama negeri jika diberi mandat selepas PRU14," kata sumber dalaman HARAPAN Kelantan.